- Iklan -
Dunia

Presiden Sri Lanka serah peletakan jawatan selepas lari ke Singapura

Peletakan jawatannya sebagai presiden berkuat kuasa hari ini.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Penunjuk perasaan berkumpul di pejabat presiden di Colombo pada 14 Julai. Gambar: AFP
Penunjuk perasaan berkumpul di pejabat presiden di Colombo pada 14 Julai. Gambar: AFP

Gotabaya Rajapaksa menyerahkan surat peletakan jawatan pada Khamis, kata jurucakap parlimen negara itu, beberapa jam presiden Sri Lanka  itu melarikan diri ke Singapura berikutan protes besar-besaran berhubung kegawatan ekonomi yang melanda negara tersebut.

Pengumuman itu disambut dengan kegembiraan di bandar Colombo di mana penunjuk perasaan berkumpul di luar pejabat presiden, menentang perintah berkurung yang diumumkan di negar itu.

Penunjuk perasaan turut dilihat membakar mercun dan bersorak sambil menari di protes Gota Go Gama, yang dinamakan sempena nama Rajapaksa.

“Seluruh negara meraikan hari ini,” kata seorang aktivis, Damitha Abeyrathne.

"Ia adalah satu kemenangan besar."

“Kami tidak pernah terfikir akan membebaskan negara ini daripada mereka,” tambahnya, merujuk kepada keluarga Rajapaksa yang mendominasi politik negara itu sejak dua dekad lalu.

Menurut jurucakap parlimen, Rajapaksa menyerahkan peletakan jawatannya melalui emel lewat Khamis dan berkuat kuasa secara rasmi hari ini.

Rajapaksa melarikan diri ke Maldives pada Rabu dan menuju ke Singapura pada Khamis dengan penerbangan syarikat penerbangan Arab Saudi.

Kerajaan Maldives turut mengesahkan negara itu telah memberikan kebenaran diplomatik untuk pesawat Tentera Udara Sri Lanka yang membawa Rajapaksa dan isterinya mendarat di wilayahnya.

Seorang penumpang dalam penerbangan memberitahu Reuters bahawa Rajapaksa dikawal sekumpulan pengawal keselamatan dan dilihat meninggalkan kawasan orang kenamaan di lapangan terbang dengan diiringi kenderaan berwarna hitam.

Dalam pada itu, Kementerian Luar Singapura berkata Rajapaksa masuk ke negara itu bagi lawatan peribadi, dan permohonan suaka tidak diberikan kepada beliau.

Keputusan Rajapaksa pada Rabu untuk melantik sekutunya Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe sebagai pemangku presiden turut mencetuskan kemarahan, di mana penunjuk perasaan menyerbu parlimen dan pejabat perdana menteri supaya beliau turut meletakkan jawatan.

"Kami mahu Ranil letak jawatan,” kata Malik Perera, seorang pemandu beca berusia 29 tahun yang turut menyertai tunjuk perasaan. 

"Mereka jual negara, kami mahu orang yang baik ambil alih pentadbiran kerajaan, selagi ia tidak berlaku kami tidak akan hentikan protes."