- Iklan -
Dunia

Inflasi tahunan New Zealand catat angka tertinggi sejak 30 tahun

Kenaikan kos sektor binaan dan petrol menjadi antara punca peningkatan inflasi di negara itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Inflasi di New Zealand turut dipacu kenaikan harga perumahan baru dan utiliti. Gambar: Reuters
Inflasi di New Zealand turut dipacu kenaikan harga perumahan baru dan utiliti. Gambar: Reuters

Indeks harga pengguna New Zealand meningkat 7.3% pada suku Jun 2022 tahun ke tahun, paras tertinggi dalam tempoh 32 tahun berikutan kenaikan harga di sektor pembinaan dan petrol, lapor Xinhua, memetik jabatan negara itu, Stats NZ pada Isnin.

Kenaikan 7.3% itu susulan peningkatan tahunan sebanyak 6.9% pada suku Mac 2022, sebelum ini, kenaikan tahunan terbesar sejak peningkatan 7.6% pada suku Jun 1990 yang berlaku sejurus selepas pengenalan Akta Rizab Bank New Zealand 1989 untuk menangani inflasi yang tinggi ketika itu.

Menurut Stats NZ, pemacu utama inflasi tahunan yang tinggi pada suku Jun 2022 adalah sektor perumahan dan utiliti isi rumah, berikutan kenaikan harga di sektor pembinaan dan sewa untuk perumahan.

Harga bagi pembinaan kediaman baru meningkat 18% pada suku itu berbanding suku Jun 2021, kata laporan itu.

"Isu rantaian bekalan, kos buruh dan permintaan yang lebih tinggi terus meningkatkan kos pembinaan rumah baru," kata Pengurus Besar Stats NZ Jason Attewell dalam satu kenyataan.

Peningkatan tahunan sebanyak 18% pada tahun hingga suku Jun menyusul lonjakan 18% pada Mac dan kenaikan 16% pada Disember 2021, kata Attewell.

Penyumbang kedua terbesar kepada inflasi tahunan adalah sektor pengangkutan, berikutan kenaikan harga petrol dan diesel, katanya.

Harga petrol naik 32% pada suku Jun 2022, kenaikan tahunan terbesar sejak suku Jun 1985. Dalam tempoh yang sama, harga diesel melonjak 74%, menurut statistik itu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.