- Iklan -
Dunia

Polis puji lelaki tembak mati suspek tembakan rambang di Indianapolis

Menurut Ketua Polis Greenwood Jim Ison, tindakan pantas Elisjsha Dicken telah menyelamatkan lebih banyak nyawa.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita berjalan di pintu masuk medan selera Greenwood Park Mall di mana kejadian tembakan rambang meragut tiga nyawa berlaku pada 18 Julai. Gambar: AFP
Seorang wanita berjalan di pintu masuk medan selera Greenwood Park Mall di mana kejadian tembakan rambang meragut tiga nyawa berlaku pada 18 Julai. Gambar: AFP

Lelaki bersenjata yang menembak mati tiga orang di sebuah pusat beli-belah di Indianapolis mungkin akan membunuh lebih ramai mangsa jika seorang lelaki tidak mengambil tindakan segera menembak penyerang sekali gus menghentikan serangan tersebut, kata polis.

Elisjsha Dicken, 22, yang membawa senjata api secara sah telah berdepan dengan suspek pada Ahad sebaik sahaja suspek melepaskan tembakan dengan sepucuk senapang di medan selera Greenwood Park Mall di Greenwood, Indiana, kata pihak berkuasa. 

Polis berkata mereka tidak mengetahui motif di sebalik kejadian tembakan rambang itu.

Ketua Polis Greenwood Jim Ison memuji Dicken, yang berada di pusat beli-belah itu bersama teman wanitanya pada malam Ahad, menggelarnya sebagai wira yang berani dan panas dalam usaha menghalang lebih banyak pertumpahan darah. 

Ison turut meminta orang ramai dan media memberikan ruang kepada Dicken selepas apa yang dilaluinya dalam kejadian tersebut.

Menurut Ison, walaupun tidak mempunyai latihan  penguatkuasaan undang-undang atau ketenteraan, Dicken menunjukkan kemahirannya, dan bijak bertindak ketika berusaha menghentikan suspek.

"Ketika dia mendekati suspek.." Dicken memberi isyarat kepada orang ramai di sekitarnya untuk keluar, kata Ison. 

Dicken kemudiannya menyerahkan diri kepada anggota keselamatan pusat membeli-belah dan turut bekerjasama dengan polis.

Kejadian tembakan rambang itu hanya berlaku selama dua minit sebelum Dicken menembak suspek.

Sebelumnya, suspek menghabiskan masa lebih satu jam di tandas pusat beli-belah itu sebagai persediaan untuk menyerang.

Pada awalnya, Dicken digari dan pistolnya dirampas sebelum dibawa untuk membantu siasatan polis, namun kenyataannya dapat disahkan melalui rakaman video di pusat beli-belah itu.

"Ramai lagi yang akan mati malam tadi jika bukan kerana seorang warganegara bersenjata yang bertanggungjawab yang bertindak pantas dalam tempoh dua minit pertama tembakan," kata Ison.

Suspek dikenali sebagai Jonathan Douglas Sapirman, 20, seorang penduduk tempatan yang tinggal sendirian dan berhenti kerja pada Mei lalu. 

Sapirman tidak mempunyai rekod jenayah berat melainkan rekod juvana. Dia tidak memandu dan dipercayai berjalan kaki ke pusat beli-belah tersebut pada hari kejadian.

Ison berkata suspek mempunyai dua senapang yang dibelinya pada Mac lalu dan sepucuk pistol, dan dia melepaskan kira-kira 24 das tembakan dari salah satu senapang itu pada hari kejadian. 

Daripada tiga mangsa yang terbunuh, dua adalah suami isteri, masing-masing berumur 56 dan 37 tahun. 

Sementara seorang lagi mangsa adalah lelaki berumur 30 tahun dan dua lagi cedera.