- Iklan -
Dunia

Ukraine tingkat serangan kuasai semula wilayah selatan ditakluki Rusia

Ukraine telah menawan semula beberapa penempatan kecil di pinggir wilayah itu dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Tentera Ukraine sedang menikmati makan tengah hari sambil rakan pasukan mereka berlatih di garaj bawah tanah Kyiv. Gambar: AFP
Tentera Ukraine sedang menikmati makan tengah hari sambil rakan pasukan mereka berlatih di garaj bawah tanah Kyiv. Gambar: AFP

Ukraine meningkatkan usahanya untuk merebut semula wilayah selatan yang dikuasai Rusia dengan mengebom dan mengasingkan tentera penceroboh ke kawasan yang sukar untuk mendapatkan bekalan, namun Moscow dilihat mengerahkan pasukannya untuk mempertahankan wilayah itu.

Dalam ucapan Hari Kebangsaan Ukraine, Presiden Volodymyr Zelensky mengucapkan tahniah kepada rakyat Ukraine dan lantang mengecam Rusia.

"Kita tidak akan berputus asa. Ukraine adalah negara yang bebas, dan tidak boleh diporak-perandakan. Dan ia akan selamanya bebas," katanya dalam satu hantaran Telegram.

Selepas Rusia dan Ukraine mencapai perjanjian minggu lalu untuk membuka sekatan eksport bijirin dari pelabuhan Laut Hitam, ketua bantuan PBB Martin Griffiths berkata beliau berharap penghantaran pertama bijirin dari pelabuhan Laut Hitam Ukraine boleh dilakukan pada Jumaat.

Beliau berkata butiran "penting" untuk laluan selamat kapal masih diusahakan, bagaimanapun, beliau mengingatkan wujud hal-hal yang mungkin menghalang laluan tersebut.

Membenarkan laluan selamat untuk penghantaran bijirin dari pelabuhan Ukraine dijangka mengurangkan krisis makanan yang dihadapi dunia di mana harga makanan melambung tinggi.

Pada Khamis, Ukraine berkata pesawat tempurnya telah menyerang lima kubu Rusia di sekitar bandar Kherson dan sebuah lagi bandar berdekatan.

Wilayah Kherson yang bersempadan dengan Crimea jatuh ke tangan tentera Rusia sejurus selepas Moscow melancarkan "operasi ketenteraan khas" pada 24 Februari. 

Ukraine menyifatkan tindakan Rusia itu sebagai perang penaklukan.

Perisikan tentera Britain berkata serangan balas Ukraine di Kherson sedang mengumpul momentum.

Ukraine berkata ia telah menawan semula beberapa penempatan kecil di pinggir utara wilayah itu dalam beberapa minggu kebelakangan ini. 

Ia dilihat sebagai permulaan serangan balas besar-besaran Kyiv untuk merebut semula wilayah selatan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.