- Iklan -
Dunia

Pasukan keselamatan Nato di Kosovo sedia campur tangan jika kestabilan terjejas

Konflik didakwa berlaku di kawasan sempadan Serbia dengan Kosovo menyebabkan keadaan keselamatan mulai tegang.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pasukan Nato Belgium membersihkan senjata di Pangkalan Udara Mihail Kogalniceanu berdekatan bandar Constanta, pada 14 Jun. Gambar: AFP
Pasukan Nato Belgium membersihkan senjata di Pangkalan Udara Mihail Kogalniceanu berdekatan bandar Constanta, pada 14 Jun. Gambar: AFP

Pasukan Keselamatan Kosovo (KFOR) Nato pada Ahad berkata ia bersedia untuk campur tangan jika kestabilan di wilayah utara Kosovo terjejas ekoran konflik yang didakwa berlaku di sempadan Serbia.

''Keadaan keselamatan keseluruhan adalah tegang di majlis perbandaran utara Kosovo. Misi KFOR yang diketuai Nato sedang memantau rapi dan bersedia untuk campur tangan jika kestabilan di sana terancam, selaras dengan mandatnya seperti yang termaktub dalam Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) 1244 tahun 1999,'' lapor Agensi Anadolu memetik KFOR dalam satu kenyataan.

KFOR menghantar tentera untuk membuat rondaan di jalan-jalan ketika langkah-langkah keselamatan dilaksanakan di sekitar Mitrovica semasa siren serangan udara terus kedengaran di bandar yang bersempadan dengan Serbia.

Turkiye juga menempatkan tenteranya di Kosovo sebagai sebahagian daripada pasukan pengaman multinasional KFOR di Balkan.

Ketegangan antara Serbia dan Kosovo meningkat pada Ahad menjelang undang-undang baharu Kosovo yang ditetapkan berkuat kuasa pada Isnin yang mewajibkan semua penduduk, termasuk warga Serbia yang tinggal di Kosovo, untuk memiliki kad pengenalan dan plat lesen Kosovo.

Menurut media tempatan, siren serangan udara kedengaran di sepanjang sempadan Kosovo-Serbia ketika Kosovo bersedia untuk menyekat lintasan sempadan

Kosovo, yang kebanyakannya didiami oleh masyarakat Albania, berpisah dari Serbia pada 1999 dan mengisytiharkan kemerdekaannya pada 2008.

Ia diiktiraf oleh lebih 100 negara, termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Jerman dan Turkiye.

Serbia tidak mengiktirafnya dan masih berterusan menuntut wilayah itu.