- Iklan -
Dunia

Pemimpin Al-Qaeda Ayman al-Zawahiri terbunuh dalam serangan AS di Afghanistan

AS berkata serangan dron itu dilancarkan di Kabul pada pagi Ahad.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Pemimpin Al-Qaeda Ayman Al-Zawahiri dalam sebuah paparan video memberi ucapan pada 2012. Gambar: AFP
Pemimpin Al-Qaeda Ayman Al-Zawahiri dalam sebuah paparan video memberi ucapan pada 2012. Gambar: AFP

Pemimpin Al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri, terbunuh dalam serangan dron oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS) pada awal minggu ini, kata Presiden AS, Joe Biden.

"Keadilan akhirnya terlaksana dan pemimpin pengganas ini sudah tiada lagi," katanya dalam kenyataan menerusi televisyen.

Pegawai AS berkata serangan dron dilancarkan di ibu negara Afghanistan, Kabul pada Ahad jam 6.18 pagi waktu tempatan.

Operasi serangan itu adalah yang terbesar sejak pengasas Al-Qaeda Osama bin Laden, dibunuh oleh tentera AS pada 2011.

Zawahiri, seorang pakar bedah warga Mesir, yang ditawarkan ganjaran AS$25 juta (RM111 juta) kepada sesiapa yang membantu penahanannya, turut terbabit dalam menyelaras serangan September 2001 di AS, yang mengorbankan hampir 3,000 mangsa.

"Sepanjang hujung minggu lalu, AS melaksanakan operasi membanteras keganasan terhadap sasaran penting Al-Qaeda di Afghanistan.

"Operasi berkenaan berjaya dan tiada mangsa dalam kalangan orang awam dilaporkan," katanya.

Bagaimanapun, tidak jelas bagaimana AS yang tidak mempunyai tentera di lapangan di Afghanistan boleh mengesahkan Zawahiri terbunuh.

Terdapat beberapa khabar angin berhubung kematian Zawahiri beberapa kali dalam beberapa tahun kebelakangan, termasuk laporan lama mengatakan dia dalam keadaan kesihatan yang teruk.

Dalam video terbaru April lalu, Zawahiri memuji seorang wanita India Muslim kerana membantah larangan memakai tudung dan menafikan khabar angin bahawa beliau sudah meninggal dunia.

Kematiannya yang disahkan Biden turut menimbulkan persoalan sama ada Zawahiri menerima perlindungan daripada Taliban berikutan rampasan kuasa di Afghanistan pada Ogos tahun lalu.

Ini adalah serangan dron pertama AS yang diketahui berlaku dalam Afghanistan sejak tentera dan diplomatnya meninggalkan negara bergolak itu pada Ogos tahun lalu.

Langkah itu dikatakan dapat meningkatkan kewibawaan jaminan Washington bahawa AS masih berupaya menangani ancaman dari Afghanistan tanpa kehadiran tentera di negara itu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.