China pada Rabu mengumumkan telah menyelesaikan latihan ketenteraannya yang dilancarkan minggu lepas di sekitar Taiwan, sebagai membantah lawatan Speaker Dewan Rakyat AS Nancy Pelosi ke pulau itu.
Komando Pasukan Timur Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) berkata ia "telah berjaya menyelesaikan pelbagai misi semasa latihan baru-baru ini di sekitar pulau Taiwan dan telah menguji dengan berkesan kapasiti tempur operasi bersama tentera," lapor Agensi Anadolu yang memetik akhbar China Global Times.
Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas China mengeluarkan Kertas Putih yang enggan menolak penggunaan kekerasan untuk menyatukan Taiwan dengan tanah besar.
Bagaimanapun, ia menambah bahawa China akan "bekerja dengan penuh keikhlasan untuk mencapai penyatuan secara aman."
Pada Selasa dan Rabu lalu, Pelosi melakukan lawatan singkat ke pulau itu, yang merupakan lawatan anggota dewan AS berpangkat tinggi yang pertama ke negara itu selepas 25 tahun.
Pelosi meneruskan lawatan itu meskipun Beijing memberi amaran bahawa pulau itu adalah wilayahnya yang terpisah, dan lawatan itu akan melanggar dasar “Satu China” negara itu.
Tidak lama selepas Pelosi meninggalkan Taipei, Beijing melancarkan latihan ketenteraan besar-besaran Khamis lalu yang dijadualkan berakhir pada Ahad, tetapi dilanjutkan sehingga Rabu.
Beijing juga mengenakan sekatan ke atas Pelosi dan keluarga terdekatnya serta menurunkan taraf dialog ketenteraan dengan AS dan menggantung kerjasama dalam perubahan iklim selain enam langkah "tindak balas" lain.