- Iklan -
Dunia

China dakwa undang-undang baru AS berhubung cip ganggu rantaian bekalan global

Beijing berkata ia menjejaskan pelaburan dan kerjasama antara kedua-dua negara.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang pekerja kilang pembuatan robot memeriksa papan konduktor di Wuhan, China. Gambar: AFP
Seorang pekerja kilang pembuatan robot memeriksa papan konduktor di Wuhan, China. Gambar: AFP

Akta cip dan sains baru yang diterima pakai oleh Amerika Syarikat untuk menyokong pengeluar semikonduktor tempatan akan mengganggu rantaian bekalan global dan menghalang perdagangan antarabangsa, satu tindakan yang ditentang China, kata jurucakap Kementerian Luar China Wang Wenbin pada Rabu, lapor Sputnik.

Presiden AS Joe Biden pada Selasa menandatangani undang-undang yang memperuntukkan AS$52.7 bilion untuk menyokong pengeluar semikonduktor AS dan mengukuhkan kedudukan mereka dalam persaingannya dengan China.

"AS menyatakan bahawa akta itu bertujuan meningkatkan daya saing teknologi AS dan pengeluaran semikonduktor; namun, akta ini memberikan subsidi yang besar kepada perusahaan AS yang mengeluarkan cip dan memperkenalkan dasar sokongan industri yang berbeza, beberapa peruntukannya, antara lain, menyekat pelaburan biasa dan aktiviti perdagangan dan ekonomi perusahaan China yang berkaitan, serta kerjasama saintifik dan teknikal biasa antara China dan AS," kata diplomat itu dalam satu taklimat.

Kementerian Luar China menjangkakan semua ini akan "mengganggu rantaian bekalan global dan menghalang perdagangan antarabangsa," kata Wang sambil menambah bahawa "China menentang keras hal ini."

AS bebas memilih kaedah pembangunannya sendiri, tetapi kaedah itu tidak sepatutnya menjejaskan pembangunan China dan mesti menghormati peraturan dan prinsip ketelusan dan tanpa diskriminasi Pertubuhan Perdagangan Dunia, serta melindungi pengeluaran global dan rantaian bekalan, kata Wang. 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.