- Iklan -
Dunia

Novelis Salman Rushdie kini dibantu ventilator selepas ditikam di New York

Ejennya, Andrew Wylie berkata Rushdie mungkin kehilangan sebelah matanya.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Novelis Salman Rushdie ketika berucap di Frankfurt Book Fair 2017, Jerman pada 12 Oktober 2017. Gambar: AFP
Novelis Salman Rushdie ketika berucap di Frankfurt Book Fair 2017, Jerman pada 12 Oktober 2017. Gambar: AFP

Novelis kelahiran India, Salman Rushdie, yang menjadi sasaran fatwa bunuh oleh Iran berikutan penerbitan bukunya kontroversinya, ditikam ketika memberi ucapan di New York semalam.

Beliau dibawa ke hospital dan menjalani pembedahan selama beberapa jam dan kini memerlukan bantuan alat pernafasan.

“Khabar tak begitu baik,” kata ejennya, Andrew Wylie dalam satu hantaran emel.

"Salman mungkin akan kehilangan sebelah mata; saraf di lengannya terputus, dan hatinya rosak ditikam."

Rushdie, 75, sedang memberi ucapan di hadapan ratusan penonton mengenai kebebasan artis di Chautauqua Institution, New York apabila seorang lelaki naik ke pentas dan menikam novelis itu.

Para hadirin yang melihat kejadian segera menarik suspek dan menjatuhkannya. 

Seorang anggota polis yang menyediakan keselamatan di acara itu telah menahan penyerang. 

Polis mengenal pasti suspek sebagai Hadi Matar, seorang lelaki berusia 24 tahun dari Fairview, New Jersey.

"Seorang lelaki melompat ke atas pentas dan kelihatan memukulnya di bahagian dada, dan mengulangi pukulan ke bahagian dada dan lehernya," kata seorang peserta acara itu, Bradley Fisher. 

”Orang ramai menjerit dan menangis."

Seorang doktor dalam kalangan penonton membantu merawat Rushdie sebelum pasukan kecemasan tiba, kata polis. 

Moderator acara itu, Henry Reese turut mengalami kecederaan ringan di kepala. 

Polis berkata mereka sedang bekerjasama dengan penyiasat persekutuan untuk menentukan motif serangan tersebut namun tidak menjelaskan senjata yang digunakan.

Rushdie dilahirkan dalam keluarga Muslim Kashmir di Mumbai, beliau kemudiannya berpindah ke UK. 

Selepas menerbitkan novel keempatnya, "The Satanic Verses” pada 1988, Rushdie menerima kecaman ramai yang mendakwa karyanya itu menghina agama Islam.

Ia kemudiannya diharamkan di banyak negara Islam.

Beberapa bulan kemudian, Ayatollah Ruhollah Khomeini, pemimpin tertinggi Iran ketika itu, mengeluarkan fatwa menyeru umat Islam untuk membunuh penulis novel itu dan sesiapa sahaja yang terlibat dalam penerbitan buku tersebut kerana menghina agama.

Rushdie kemudiannya hidup dalam persembunyian selama hampir sedekad. 

Pada 1991, Hitoshi Igarashi, penterjemah novel itu ke bahasa Jepun, telah dibunuh. 

Kerajaan Iran kemudiannya mengatakan ia tidak menyokong fatwa itu lagi pada tahun 1998 membolehkannya hidup secara terbuka sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Organisasi Iran telah mengumpulkan hadiah bernilai jutaan dolar bagi sesiapa yang dapat membunuh Rushdie. 

Ayatollah Ali Khamenei, berkata baru-baru ini pada 2019 bahawa fatwa itu "tidak boleh ditarik balik."

Agensi berita Fars di Iran dan saluran berita lain menderma wang pada 2016 untuk meningkatkan hadiah sebanyak AS$600,000. 

Fars menyifatkan Rushdie sebagai murtad dan "menghina nabi" dalam laporannya mengenai serangan Jumaat.

Menurut hadirin, tiada pemeriksaan keselamatan yang jelas di Chautauqua Institution, sebuah mercu tanda yang diasaskan pada abad ke-19 sempena nama tasik di mana ia dibina.

Mereka berkata kakitangan hanya menyemak pas masuk orang ramai bagi acara tersebut.

"Saya rasa kami perlu mendapat perlindungan yang lebih di sana kerana Salman Rushdie bukan penulis biasa," kata Anour Rahmani, seorang penulis Algeria dan aktivis hak asasi manusia yang hadir di hadapan penonton.

"Dia seorang penulis dengan hadiah wang bagi sesiapa yang membunuhnya."

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi