Novelis terkenal Salman Rushdie yang ditikam pada Jumaat lalu di New York kini tidak lagi perlu bergantung dengan bantuan alat pernafasan dan mulai stabil, kata ejen dan anak lelakinya semalam.
"Dia tidak lagi perlukan ventilator, dia sedang jalani proses pemulihan," kata ejennya, Andrew Wylie dalam sebuah emel.
“Proses itu akan ambil masa yang lama; kecederaannya teruk, tetapi keadaannya semakin baik.”
Rushdie, 75, baru sahaja naik ke pentas untuk memulakan ucapannya di Chautauqua Institution sebelum diserang seorang lelaki berusia 24 tahun ketika kejadian itu.
Rushdie menjadi sasaran fatwa bunuh terhadapnya berikutan penerbitan novel “The Satanic Verses” pada 1988 di mana ia dilihat oleh sebilangan umat Islam sebagai karya yang menghina agama.
Pada tahun 1989, pemimpin tertinggi Iran Ayatollah Ruhollah Khomeini telah mengeluarkan fatwa, menyeru agar dia dibunuh.
Setiausaha Negara AS Antony Blinken berkata pada Ahad bahawa institusi negara Iran telah mencetuskan keganasan terhadap Rushdie selama beberapa generasi, dan media sekutu kerajaan menyokong percubaan membunuhnya.
"Ini adalah satu tindakan keji," kata Blinken dalam satu kenyataan.
"AS dan rakan kongsi akan terus teguh dalam menghadapi ancaman ini, menggunakan semua cara yang sesuai."
Suspek, Hadi Matar dari Fairview, New Jersey, mengaku tidak bersalah atas tuduhan cubaan membunuh dan menyerang ketika dibawa ke mahkamah pada Sabtu, kata peguamnya, Nathaniel Barone kepada Reuters.
Setakat ini, pihak berkuasa tempatan mahupun persekutuan tidak memberikan sebarang butiran tambahan mengenai siasatan kejadian tersebut, termasuk motif serangan.