- Iklan -
Dunia

Elon Musk bergurau beli MU

Lelaki terkaya di dunia itu berkata beliau hanya bergurau ketika berkata mahu membeli kelab bola sepak England itu.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Penyerang Manchester United dari Portugal Cristiano Ronaldo menghantar bola ketika perlawanan persahabatan antara kelab itu dan Rayo Vallecano di Old Trafford Julai lalu. Gambar: AFP
Penyerang Manchester United dari Portugal Cristiano Ronaldo menghantar bola ketika perlawanan persahabatan antara kelab itu dan Rayo Vallecano di Old Trafford Julai lalu. Gambar: AFP

Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Elon Musk berkata beliau hanya bergurau dalam sebuah ciapan Twitter hari ini selepas berkata mahu membeli kelab bola sepak Manchester United.

"Tidak, ini hanya satu gurauan di Twitter. Saya tak beli mana-mana pasukan bola sepak," kata Musk ketika ditanya sama ada beliau serius membeli kelab itu.

Empat jam sebelum berkata beliau hanya bergurau, Musk menciap: "Saya hendak beli Manchester United, terima kasih.” 

Ketika menciapnya, tiada sebarang butiran diberikan mengenainya.

United adalah salah satu kelab bola sepak yang mempunyai ramai penyokong di seluruh dunia. 

Kelab itu menjadi juara England sebanyak 20 kali dan pernah memenangi Piala Eropah sebanyak tiga kali.

Ketika ini, kelab itu dikuasai oleh keluarga Glazer dari Amerika, yang masih belum memberikan sebarang ulasan berhubung kenyataan Musk tersebut.

Kelab bola sepak itu mempunyai modal pasaran bernilai AS$2.08 bilion, setakat penutupan bursa saham semalam.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, peminat kelab bola sepak itu sering mengadakan protes terhadap keluarga Glazer yang merupakan pemilik United.

Keluarga Glazer membeli kelab itu pada pada 2005 dengan harga AS$955.51 juta.

Gerakan anti Glazer mendapat momentum tahun lalu selepas United terlibat dalam percubaan untuk membentuk satu lagi liga yang memisahkannya dari Liga Super Eropah.

Berikutan isu yang melanda kelab itu, sesetengah peminat menggesa Musk untuk membeli United berbanding Twitter. 

Musk yang cuba untuk keluar dari perjanjian AS$44 bilion bagi membeli syarikat media sosial itu kini berdepan perbicaraan saman di mahkamah