- Iklan -
Dunia

Jokowi mahu Tesla bina kereta elektrik di Indonesia

Sebelum ini, Indonesia berjaya memikat syarikat pembuatan kereta elektrik itu untuk melabur dalam industri nikelnya.

Bernama & Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Indonesia Joko Widodo. Gambar: AFP
Presiden Indonesia Joko Widodo. Gambar: AFP

Presiden Indonesia Joko Widodo  menggesa syarikat pembuatan kenderaan elektrik (EV) Tesla untuk mengeluarkan kereta dan bateri, di negara itu, dalam ulasannya kepada Bloomberg News pada Khamis.

Sebelum ini, Indonesia telah memikat Tesla untuk membuat pelaburan dalam industri nikel atau tembaga putihnya, dalam usaha negara itu menjadi lokasi pembuatan bekalan bateri yang digunakan dalam EV.

Dalam sebuah temu bual, beliau yang lebih dikenali sebagai Jokowi berkata  Indonesia mahu membina sebuah "ekosistem besar kereta elektrik", bukan hanya sekadar menggunakan sumber semula jadinya bagi pembuatan bateri.

Beliau juga berkata Indonesia sedang mempertimbangkan untuk mengenakan cukai ke atas eksport nikel tahun ini bagi meningkatkan pendapatan negara. 

Pegawai kerajaan Indonesia sebelum ini berkata usaha itu boleh dimulakan selepas suku ketiga 2022.

Indonesia turut berkata Tesla telah mengadakan perjanjian bernilai kira-kira AS$5 bilion untuk membeli produk nikel dari negara itu, dan menandatangani kontrak lima tahun dengan syarikat pemprosesan nikel yang beroperasi di luar Morowali, Sulawesi. 

Bahan nikel itu akan digunakan dalam pembuatan bateri litium kenderaan yang dikeluarkan Tesla.

Jokowi bertemu dengan pengasas Tesla, Elon Musk pada awal Mei lalu dalam usaha meningkatkan peluang pelaburan dan menjemput beliau untuk mengadakan lawatan ke Indonesia pada November.

Bagaimanapun, wakil Tesla masih tidak memberikan ulasan segera berhubung perkembangan terbaru itu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.