India sedang beralih menjadi hab kenderaan elektrik, untuk kenderaan dua roda dan empat roda, dan negara itu sedang menyaksikan satu "revolusi senyap" kerana kenderaan elektronik itu bergerak senyap, kata Perdana Menteri Narendra Modi pada Ahad.
Bercakap pada majlis sambutan 40 tahun Suzuki di India, Xinhua memetik Modi sebagai berkata pasaran kenderaan elektrik berkembang di negara itu pada kadar yang sangat pantas sejak beberapa tahun lalu.
Majlis itu menandakan pelancaran kilang pembuatan bateri kenderaan elektrik baru di negeri Gujarat di barat India, dan penyediaan kemudahan pengeluaran baru Suzuki di negeri Haryana di utara negara itu.
“Revolusi senyap ini bukan sahaja milik para jurutera, tetapi juga milik negara secara keseluruhannya,” kata Modi, sambil menambah bahawa asas revolusi itu telah ditetapkan sejak lapan tahun lalu.
"Hari ini kita sedang berusaha menuju ke arah penawaran dan permintaan kenderaan elektrik di negara ini. Kerajaan menawarkan insentif kepada pembeli kenderaan elektrik supaya permintaan meningkat dengan pantas.
"Selain itu, rebat cukai pendapatan juga ditawarkan supaya pinjaman kenderaan menjadi lebih mudah," kata Modi pada majlis itu.
Beliau menyebut hari ini warga India sudah mula menerima kenderaan elektrik sebagai mod pengangkutan utama.
Modi turut berkata negeri Gujarat sedang muncul sebagai hab pembuatan automotif terkemuka bukan sahaja di negara itu tetapi juga di dunia.