Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan mengenai laporan bahawa Taliban menjadi tuan rumah kepada pemimpin Al Qaeda, kata Timbalan Wakil Khas PBB untuk Afghanistan Ramiz Alakbarov kepada Sputnik.
"Taliban mendakwa mereka giat memerangi Daesh dan al-Qaeda, tetapi berdasarkan perkembangan terkini, termasuk kehadiran pemimpin Al Qaeda Ayman al-Zawahiri di Kabul, ia sedikit sebanyak mengubah persepsi.
“Kami akan terus memantau keadaan dengan teliti. Kami khuatir dengan perkembangan ini tetapi akan terus melaksanakan tugas berkaitan," kata Alakbarov.
Akibat perkembangan terbaru ini, tugas menggerakkan bantuan ke Afghanistan menjadi lebih sukar, kata pegawai PBB itu.
Jumlah serangan pengganas di Afghanistan telah menyaksikan penurunan berbanding tahun-tahun sebelumnya, menurut Alakbarov.
Bagaimanapun, serangan pengganas semakin menjadi-jadi menjelang ulang tahun pertama pengunduran tentera Amerika Syarikat dan Taliban menguasai semula Afghanistan.
Pada 1 Ogos, Presiden Joe Biden mengumumkan bahawa al-Zawahiri terbunuh dalam serangan dron AS di Kabul pada 31 Julai.
Setiausaha Negara Antony Blinken berkata Taliban telah melanggar perjanjian Doha ketika era Trump dengan menjadi tuan rumah serta melindungi pemimpin al-Qaeda.