- Iklan -
Dunia

Tindakan China terhadap Uighur adalah pencabulan serius hak asasi manusia, kata PBB

Kumpulan hak asasi menuduh Beijing melakukan penganiayaan terhadap etnik Uighur termasuk buruh paksa dalam tahanan.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar menunjukkan penduduk di Shayar, Xinjiang mengerjakan tanaman di tepi jalan. Gambar: AFP
Gambar menunjukkan penduduk di Shayar, Xinjiang mengerjakan tanaman di tepi jalan. Gambar: AFP

Tindakan China “melakukan penahanan dan diskriminasi” terhadap etnik Uighur yang kebanyakannya Muslim di wilayah Xinjiang adalah pencabulan serius terhadap hak asasi manusia, kata Pesuruhjaya Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Michelle Bachelet.

Bachelet yang menghadapi kritikan daripada diplomat dan kumpulan hak asasi manusia berikutan pendiriannya yang lembut terhadap China, mengeluarkan laporan yang ditunggu-tunggu itu lewat malam tadi beberapa minit sebelum penggal jawatannya berakhir.

Menurut laporan itu, tuduhan berhubung penganiayaan ke atas masyarakat Uighur adalah boleh dipercayai dan berkemungkinan berlaku jenayah kemanusiaan.

"Tahap penahanan sewenang-wenang dan diskriminasi masyarakat Uighur dan kumpulan lain yang kebanyakannya Islam... mungkin merupakan jenayah antarabangsa, khususnya jenayah terhadap kemanusiaan," kata laporan PBB itu

Beliau mengesyorkan kerajaan China mengambil langkah segera untuk membebaskan semua mereka yang ditahan di pusat latihan, penjara atau kemudahan tahanan.

“Terdapat petunjuk yang boleh dipercayai tentang pencabulan hak reproduktif melalui penguatkuasaan secara paksa dasar perancangan keluarga sejak 2017,” kata laporan itu.

Laporan itu turut menambah kekurangan data dari kerajaan China "menyukarkan usaha dalam membuat kesimpulan mengenai tahap sebenar penguatkuasaan semasa dasar ini dan pelanggaran hak reproduktif yang berkaitan."

Kumpulan hak asasi manusia menuduh Beijing melakukan penganiayaan terhadap Uighur, etnik minoriti Islam yang mempunyai populasi sekurang-kurangnya 10 juta orang di  Xinjiang.

Penganiayaan itu termasuk penggunaan buruh paksa secara besar-besaran di kem tahanan. 

Dalam pada itu, Amerika Syarikat turut menuduh China melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Namun kerajaan China menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.

Memberi ulasan mengenai laporan tersebut, wakil China ke PBB di New York, Zhang Jun berkata Beijing berulang kali menyuarakan bantahan terhadap Bachelet. 

Katanya, pesuruhjaya hak asasi manusia PBB tidak sepatutnya campur tangan dalam hal ehwal dalaman China.

"Kita semua tahu, apa yang dipanggil isu Xinjiang tersebut adalah pembohongan yang direka sepenuhnya dan bermotif politik dan tujuannya adalah untuk menjejaskan kestabilan dan menghalang pembangunan China," kata Zhang kepada pemberita pada Rabu.

“Kami tidak fikir ia akan memberi manfaat kepada sesiapa, ia hanya menjejaskan kerjasama antara PBB dan negara anggota,” katanya.

Bulan lalu, Reuters melaporkan China telah meminta Bachelet untuk tidak mengeluarkan laporan tersebut, menurut surat dari China yang disahkan oleh diplomat negara itu.

Bachelet turut mengesahkan pihaknya telah menerima surat tersebut namun berkeras pejabatnya tidak akan melayani tekanan sedemikian.

Bachelet, 70, merancang untuk bersara di Chile. 

Ramai calon dinamakan bagi jawatan itu, namun belum ada pengganti yang akan dipilih oleh Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres di mana calon perlu mendapat kelulusan Perhimpunan Agung PBB di New York.

“Jujur saya katakan, dengan mengeluarkannya ketika beliau keluar dari pejabat telah secara sendirinya memperkecilkan laporan itu," kata Kenneth Roth dari Human Rights Watch kepada Reuters. 

"Dengan keluarkan leporan sedemikian rupa dan larikan diri menunjukkan beliau sudah berputus asa, dia tidak membuat sebarang tindakan mengenainya, dia hanya sekadar umumkan, buang (laporan itu) ke dalam tong sampah dan keluar pejabat."