- Iklan -
Dunia

Pen bocor jengkelkan Raja Charles ketika majlis tandatangan

Raja Charles menunjukkan kekecewaannya apabila dakwat pen yang digunakan bocor ketika menandatangani buku pelawat di Istana Hillsborough berhampiran Belfast.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Permaisuri Britain Camilla menyaksikan suaminya Raja Charles III menandatangani buku pelawat Istana Hillsborough pada 13 September di Ireland Utara. Gambar: AFP
Permaisuri Britain Camilla menyaksikan suaminya Raja Charles III menandatangani buku pelawat Istana Hillsborough pada 13 September di Ireland Utara. Gambar: AFP

Raja Charles III meluahkan kekecewaan selepas pen yang digunakannya bocor pada Selasa sewaktu majlis tandatangan perjanjian di Ireland Utara. 

Kejadian itu merupakan kali kedua dalam beberapa hari kebelakangan ini apabila Raja Britain itu menunjukkan rasa jengkel sewaktu acara sedemikian.

Charles, melawat Ireland Utara sebagai sebahagian lawatan di seluruh United Kingdom bagi mengetuai acara berkabung Ratu Elizabeth. 

Charles disambut dengan sorakan ramai dan turut menyampaikan ikrarnya sebagai raja baru.

Selepas berucap, beliau menandatangani buku pelawat di Istana Hillsborough berhampiran Belfast, di mana Charles menunjukkan kekecewaannya apabila dakwat pen yang digunakan bocor.

"Ya Tuhan, saya benci (pen) ini!" Charles berkata sambil berdiri dan menyerahkan pen kepada isterinya, Permaisuri Camilla.

"Saya tidak boleh tahan benda ini. Setiap kali mesti jadi begini,” kata Charles sambil berlalu pergi.

Bercakap sebelum Charles dilantik menjadi raja, seorang bekas pembantunya memberitahu Reuters, raja baru Britain itu adalah seorang yang mesra, namun baginda juga cepat marah.

Pada Sabtu, ketika menandatangani dokumen di London, Charles juga dilihat jengkel selepas pemegang pennya menyukarkannya untuk berbuat demikian.

Ketika melengkapkan dokumen pada Selasa, Charles juga menulis tarikh salah, sebelum menyemak dengan pembantunya mengenai tarikh sebenar.