Hutang negara Korea Selatan semakin meningkat meskipun hasil cukai mengukuh, disebabkan perbelanjaan yang lebih besar untuk peniagaan kecil yang teruk terjejas akibat pandemik, selain kumpulan lain yang mudah terjejas.
Menurut data pada Khamis, jumlah hutang mencecah 1,022 trilion won (AS$732.88 bilion) pada akhir Julai, meningkat 14.5 trilion won berbanding pada tahun sebelumnya, menurut agensi berita Yonhap yang memetik data Kementerian Kewangan.
Sehingga akhir 2021, hutang negara berjumlah 939.1 trilion won, namun meningkat pada kadar yang kukuh, dengan pertama kalinya melepasi paras 1,000 trilion pada April.
Jumlah hasil negara itu untuk tempoh tujuh bulan pertama tahun ini sebanyak 394 trilion won, menokok 37.1 trilion won berbanding tahun lepas, hasil daripada peningkatan kutipan cukai korporat dan pendapatan susulan pemulihan ekonomi baru-baru ini.
Bagaimanapun perbelanjaan meningkat 72.8 trilion won kepada 450.4 trilion won pada akhir Julai, dengan kerajaan merancang untuk melaksanakan satu lagi pusingan dana bantuan kepada pemilik perniagaan kecil yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, selain peningkatan dalam pelbagai program antivirus, menurut data berkenaan.
Imbangan fiskal terurus itu, pengukur utama kedudukan fiskal, mencatatkan defisit 86.8 trilion won pada akhir Julai, meningkat kepada 29.9 trilion won pada tahun sebelumnya.
"Kami mencatat defisit ekoran program belanjawan tambahan yang akan dilaksanakan tidak lama lagi. Kami akan mengurus imbangan itu dalam tempoh sasaran, menjelang akhir tahun,” katanya dalam kenyataan itu.
Menurut Yonhap, untuk tahun depan, kerajaan mencadangkan belanjawan berjumlah 639 trilion won, peningkatan 5.2%. Ia merupakan pertumbuhan perbelanjaan paling perlahan dalam tempoh enam tahun, selari langkah pengetatan dasar bagi meningkatkan kedudukan fiskal.