- Iklan -
Dunia

Kebimbangan ekonomi meleset, dolar AS mengukuh punca harga minyak turun

Penanda aras antarabangsa minyak mentah Brent didagangkan pada AS$91.30 setong pagi tadi.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pelantar minyak Petronas di Pantai Timur Malaysia. Harga minyak menyusut selepas kebimbangan kemelesetan ekonomi dan pengukuhan dolar AS. Gambar: AFP
Pelantar minyak Petronas di Pantai Timur Malaysia. Harga minyak menyusut selepas kebimbangan kemelesetan ekonomi dan pengukuhan dolar AS. Gambar: AFP

Harga minyak susut sedikit pada Isnin susulan permintaan yang lemah berpunca daripada kebimbangan mengenai kemelesetan ekonomi dunia, selain pengukuhan dolar AS yang menghalang pelabur berdagang dalam minyak yang berindekskan dolar AS, lapor Anadolu.

Penanda aras antarabangsa minyak mentah Brent didagangkan pada AS$91.30 setong pada 9.26 pagi waktu tempatan (0626 GMT), susut 0.05% berbanding harga penutupan AS$91.35 setong pada sesi dagangan sebelumnya.

Penanda aras Amerika West Texas Intermediate (WTI) didagangkan pada AS$84.19 setong, turun 0.67% berbanding ditutup pada AS$84.76 setong pada sesi sebelumnya.

Walaupun laporan pasaran oleh OPEC dan Agensi Tenaga Antarabangsa (EIA) menganggarkan  permintaan ke atas minyak global meningkat pada tahun ini dan tahun depan, dengan permintaan melepasi paras pra-Covid pada 2023, sekatan permintaan ekoran kebimbangan mengenai kemelesetan ekonomi global, menjejaskan harga.

Menurut OPEC penggantian gas kepada minyak untuk penjanaan kuasa dan penggunaan oleh sektor perindustrian di OECD Eropah dan Asia, mewakili komponen penting dalam prospek permintaan bagi tahun itu.

EIA juga mengunjurkan peningkatan dalam permintaan, namun memberi amaran mengenai kedudukan ekonomi China yang goyah, selain kelembapan berterusan dalam ekonomi OECD.

Pada Ahad, pihak berkuasa China memaklumkan sekatan Covid-19 di bandar Chengdu di barat daya China akan ditarik balik pada Isnin.

“Pasaran masih berhadapan sekatan sekatan minyak Eropah ke atas Rusia. Memandangkan bekalan terganggu pada awal Disember, pasaran tidak mungkin melihat sebarang maklum balas segera daripada pengeluar Amerika Syarikat,” kata Pakar Strategi Komoditi Kumpulan Perbankan Australia dan New Zealand (ANZ), Daniel Hynes dalam notanya menerusi emel.

Hynes berkata pertumbuhan didorong oleh "kos yang meningkat, pasaran buruh yang ketat dan pemegang saham yang masih mahu membuat keuntungan."

Harga minyak berindeks dolar AS mengalami tekanan ekoran kenaikan nilai dolar AS.

Indeks dolar AS, yang mengukur nilai dolar Amerika berbanding sekumpulan mata wang, termasuk yen Jepun, paun British, dolar Kanada, krona Sweden dan franc Switzerland, meningkat 0.22% kepada 109.75.