- Iklan -
Dunia

Gempa bumi gegarkan Mexico, seorang maut

Pusat gempa itu terletak 63km di selatan Coalcoman, di Michoacan dengan kedalaman 15km.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Anggota bomba memeriksa kerosakan di gereja Nuestra Señora de la Merced, Guadalajara, Mexico selepas gempa melanda. Gambar: AFP
Anggota bomba memeriksa kerosakan di gereja Nuestra Señora de la Merced, Guadalajara, Mexico selepas gempa melanda. Gambar: AFP

Gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter menggegarkan barat dan tengah Mexico pada Isnin, menyebabkan seorang terbunuh akibat ditimpa tembok di sebuah pusat beli-belah di Manzanillo, Colima, kata Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador.

Gempa bumi itu berlaku pada 1.05 tengah hari waktu tempatan (0605 GMT) dan kawasan Colima dan Michoacan paling terjejas teruk manakala beberapa bahagian di Mexico City turut merasai gegaran.

Menurut Suruhanjaya Persekutuan Elektrik (CFE), 1.2 juta orang terputus bekalan elektrik di Mexico City, Michoacan, Colima dan Jalisco. 

Perkhidmatan Seismologi Kebangsaan (SSN) pada awalnya melaporkan bacaan gempa bumi 7.4 pada skala Richter, tetapi mengemas kini bacaan kepada 7.7 pada skala Richter, dua jam kemudian.

Menurut SSN, pusat gempa terletak 63km di selatan Coalcoman, di Michoacan dengan kedalaman 15km.

Menjelang 3.20 petang waktu tempatan (0820 GMT), perkhidmatan seismologi mencatatkan 168 gegaran susulan dengan magnitud tertinggi 5.3 pada skala Richter.

Gempa bumi berlaku sejurus selepas latihan gempa bumi tahunan di seluruh negara diadakan sempena memperingati gempa bumi dahsyat pada 1985 yang meragut beribu-ribu nyawa dan meruntuhkan bangunan di seluruh pusat bandar Mexico City.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.