- Iklan -
Dunia

AS umum AS$170 juta bantuan kemanusiaan Rohingya

Lebih sejuta pelarian Rohingya tinggal di kem pelarian Bangladesh yang kini menjadi penempatan pelarian terbesar di dunia.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Kanak-kanak Rohingya bermain di penempatan pelarian Kutupalong, Cox's Bazar, Bangladesh.
Kanak-kanak Rohingya bermain di penempatan pelarian Kutupalong, Cox's Bazar, Bangladesh.

Amerika Syarikat (AS) pada Khamis mengumumkan peruntukan bantuan tambahan sebanyak AS$170 juta untuk pelarian Muslim Rohingya Myanmar, termasuk mereka yang berada di luar negara seperti di Bangladesh, kata Setiausaha Negara Antony Blinken.

“Dengan pembiayaan baru ini, jumlah bantuan bagi krisis pelarian Rohingya telah mencecah hampir AS$1.9 bilion sejak Ogos 2017, apabila lebih 740,000 orang masyarakat Rohingya terpaksa melarikan diri ke tempat selamat di Cox’s Bazar, Bangladesh,” kata Blinken dalam satu kenyataan.

Bantuan itu diumumkan kira-kira sebulan selepas agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mendedahkan dana bantuan pelarian Rohingya di Bangladesh "sangat kurang."

Lebih sejuta pelarian Rohingya tinggal di kem-kem pelarian di selatan Bangladesh yang merupakan penempatan pelarian terbesar di dunia. 

Mereka tidak mempunyai peluang untuk kembali semula ke Myanmar, di mana kebanyakan mereka dinafikan kewarganegaraan dan hak asasi.

Bantuan tambahan kemanusiaan AS itu termasuk peruntukan sebanyak AS$93 juta melalui Jabatan Negara dan lebih AS$77 juta melalui Agensi Pembangunan Antarabangsa AS, kata Blinken.

Kira-kira AS$138 juta diperuntukkan khusus untuk program pelarian di Bangladesh, kata Blinken sambil menambah AS bekerjasama dengan kerajaan Bangladesh dan masayrakat Muslim Rohingya untuk mencari penyelesaian kepada krisis tersebut.

Sebilangan besar masyarakat Rohingya melarikan diri dari Myanmar ke negara jiran Bangladesh ketika tentera Myanmar menjalankan operasi pada 2017 di mana ia disifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai pembunuhan beramai-ramai.

Dalam kenyataannya pada Khamis, Blinken berkata ramai pelarian Rohinya "terselamat daripada kempen pembunuhan beramai-ramai dan jenayah terhadap kemanusiaan dan pembersihan etnik."

Myanmar menafikan ia menjalankan operasi pembunuhan beramai-ramai, mengatakan ia adalah operasi menentang pemberontak yang menyerang polis.

Myanmar kini berdepan pertuduhan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa di Hague berhubung peristiwa ganas itu.