Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden kemungkinan tidak akan menghadiri Mesyuarat Minggu Pemimpin Ekonomi (AELW) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) ke-29 di Bangkok pada November.
Bagaimanapun, Thailand dan AS sedang menyelaras usaha agar Biden dapat menghadiri mesyuarat berkenaan.
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Thailand Tanee Sangrat mengesahkan bahawa "ada majlis perkahwinan di Rumah Putih".
"Presiden melihat kepentingan Apec, justeru Thailand dan AS sedang menyelaras usaha agar Presiden dapat menghadiri mesyuarat di Bangkok," katanya.
Sebelum ini, media tempatan Thai PBS melaporkan Biden tidak akan menghadiri mesyuarat pemimpin Apec di Bangkok kerana "urusan keluarga".
Rumah Putih dilaporkan telah memaklumkan kepada Kedutaan Thailand di Washington DC bahawa Naib Presiden Kamala Harris akan mewakili Biden ke mesyuarat yang dijadual berlangsung pada 18 hingga 19 November itu.
Harris akan ke Bangkok dan menghadiri sidang kemuncak itu selama dua hari.
Laporan itu menyebut Biden akan menyertai sidang kemuncak G20 di Bali pada 15 hingga 16 November.