Seorang ahli perniagaan Malaysia dalam buruan yang dikenali sebagai “Fat Leonard" kerana terbabit skandal rasuah Tentera Laut AS kini mahu mendapatkan suaka politik di Venezuela selepas ditahan di negara itu minggu lalu, kata media tempatan.
Leonard Glenn Francis ditahan pada 21 September di lapangan terbang di luar Caracas ketika dia bersedia untuk berlepas ke Rusia.
Menurut ketua Interpol, nama Francis berada dalam senarai notis merah AS dan pihak berkuasa sedang merancang untuk memulakan prosedur ekstradisinya.
Akhbar Venezuela Ultimas Noticias, memetik sumber kehakiman berkata pada Isnin bahawa ahli perniagaan itu hadir di mahkamah sehari selepas ditahan di Caracas.
Dia turut dilaporkan memberitahu perbicaraan mahu tinggal di Venezuela bagi proses rayuan mendapatkan suaka politik selain mendakwa menghidap penyakit kanser buah pinggang.
Kementerian Penerangan Venezuela dan Pejabat Peguam Negara Venezuela masih tidak memberikan sebarang respons ketika dihubungi.
Francis tiba di Venezuela melalui Mexico dan Cuba, dan merancang untuk terbang ke Rusia, kata kenyataan Interpol minggu lalu.
Ahli perniagaan Malaysia itu menanggalkan gelang kaki pemantauannya dan melarikan diri dari tahanan rumah di AS awal bulan ini menjelang keputusan perbicaraannya, lapor San Diego Union-Tribune.
Pendakwa raya dalam kes itu berkata Francis memberi wang tunai kepada pegawai Tentera Laut, selain makanan gourmet, cerut, arak mahal dan turut menyediakan pesta seks liar di hotel mewah sebagai pertukaran maklumat sulit dan kontrak tentera.
Dia mengaku bersalah melakukan rasuah pada Januari 2015 dan bersetuju untuk memulangkan AS$35 juta yang diperolehinya secara haram.
Menurut rekod perjanjian rayuan itu, Francis turut membayar kira-kira AS$500,000 sebagai rasuah kepada pegawai Tentera Laut.