- Iklan -
Dunia

PBB bimbang wabak penyakit di kawasan banjir Pakistan

Wabak penyakit bawaan vektor dan penyakit bawaan air semakin membimbangkan di wilayah Sindh dan Balochistan memandangkan banyak daerah masih ditenggelami air.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang mangsa banjir membasuh baju di kawasan banjir Dera Allah, Jaffarabad, Pakistan. Gambar: AFP
Seorang mangsa banjir membasuh baju di kawasan banjir Dera Allah, Jaffarabad, Pakistan. Gambar: AFP

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa menyuarakan kebimbangannya terhadap wabak penyakit bawaan vektor dan penyakit bawaan air di kawasan dilanda banjir di Pakistan.

Wabak penyakit bawaan vektor dan penyakit bawaan air semakin membimbangkan di wilayah Sindh dan Balochistan memandangkan banyak daerah masih ditenggelami air, Xinhua memetik Stephane Dujarric, jurucakap Setiausaha Agung PBB António Guterres, sebagai berkata.

Banjir turut merosakkan hampir 1,500 kemudahan kesihatan di seluruh negara, termasuk lebih 300 peti sejuk dan sistem tenaga solar, yang menjejaskan rantaian sejuk vaksin, katanya.

Penilaian masih diteruskan. Lebih 7.9 juta orang masih kehilangan tempat tinggal akibat bencana banjir. Hampir 600,000 tinggal di pusat bantuan, dan lebih 7,000 sekolah di seluruh Pakistan digunakan sebagai pusat bantuan sementara, kata jurucakap itu.

Lebih dua juta rumah rosak akibat hujan lebat dan banjir. Lebih 25,000 sekolah dan 13,000km jalan raya juga dilaporkan rosak, katanya.

PBB dan rakan kongsi kemanusiaannya kini terus meningkatkan tindakan, dan setakat ini sudah membantu lebih 1.6 juta orang di kawasan-kawasan yang terjejas akibat banjir, kata jurucakap itu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.