- Iklan -
Dunia

Puluhan pegawai kerajaan, tentera Indonesia jadi sasaran intipan siber

Ketua Menteri Ekonomi Airlangga Hartarto menjadi antara mangsa intipan siber syarikat berpangkalan di Israel itu.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Suasan jalan raya di Jakarta pada 15 September 2021. Gambar: AFP
Suasan jalan raya di Jakarta pada 15 September 2021. Gambar: AFP

Puluhan pegawai kanan kerajaan dan tentera Indonesia menjadi sasaran intipan oleh penggodam menggunakan perisian yang direka firma pengawasan Israel tahun lalu, dedah sembilan individu yang arif mengenai isu tersebut.

Enam daripada individu tersebut memberitahu Reuters bahawa mereka sendiri turut menjadi sasaran.

Selain, antara sasaran lain termasuk pemimpin tertinggi Ketua Menteri Ekonomi, Airlangga Hartarto; dua pegawai kanan tentera; dua diplomat wilayah dan penasihat pertahanan Indonesia serta Kementerian Luar Indonesia.

Enam individu berkenaan memberitahu Reuters bahawa mereka menerima emel daripada firma Apple Inc pada November 2021.

Apple memaklumkan pihaknya percaya pegawai berkenaan menjadi sasaran oleh penggodam yang ditaja kerajaan Israel.

Bagaimanapun, Apple tidak mendedahkan identiti atau berapa ramai pengguna yang menjadi sasaran penggodaman selain enggan memberikan ulasan mengenainya.

Menurut Apple dan penyelidik keselamatan, penerima amaran yang disasarkan menggunakan ForcedEntry iaitu perisian termaju digunakan vendor pengawasan siber Israel, NSO Group.

Perisian itu berfungsi membantu agensi pengintip asing mengawal peranti seperti Iphone dari jarak jauh tanpa disedari.

Satu lagi firma siber Israel, QuaDream turut membangunkan alat penggodaman yang hampir sama di mana ia pernah dilaporkan oleh Reuters sebelum ini.

Reuters tidak dapat mengesahkan pihak yang mencipta atau menggunakan perisian pengintip dengan menjadikan pegawai Indonesia sebagai sasaran, sama ada percubaan itu berjaya atau sebaliknya, termasuk hasil daripada penggodaman itu.

Menurut pakar keselamatan siber, percubaan mengintip pegawai Indonesia yang belum pernah dilaporkan sebelum ini, adalah salah satu kes terbesar menggunakan perisian sedemikian dan berlaku terhadap kakitangan kerajaan, tentera dan kementerian.

Jurucakap kerajaan Indonesia, tentera, Kementerian Pertahanan Indonesia dan Badan Siber dan Sandi Negara (BSSN) tidak memberikan sebarang ulasan ketika ditanya melalui emel.

Jurucakap Kementerian Luar Indonesia berkata mereka tidak mengetahui kes itu dan merujuk Reuters kepada BSSN.

Airlangga Hartarto adalah sekutu utama Presiden Indonesia Joko Widodo tidak menjawab soalan yang dihantar Reuters kepadanya, begitu juga wakilnya.

Penggunaan ForcedEntry bertindak mengeksploitasi kelemahan pada Iphone melalui teknik penggodaman baru yang tidak memerlukan interaksi pengguna.

Ia pernah didedahkan oleh badan pemerhati keselamatan siber, Citizen Lab pada September tahun lalu.

Penyelidik keselamatan Google pula menyifatkannya sebagai penggodaman paling canggih dari segi teknikal yang pernah mereka lihat.

Sementara itu, jurucakap NSO Group menafikan pembabitan firma perisian itu, yang didakwa menyasarkan pegawai Indonesia, menolaknya sebagai “mustahil dilakukan baik dari segi kontrak atau teknologi”, tanpa mendedahkan identiti pelanggannya.

Jelas firma itu lagi, pihaknya hanya menjual produknya kepada entiti kerajaan yang disemak dan disahkan terlebih dulu.

Quadream juga tidak memberi reaksi balas terhadap pendedahan berkenaan.

Selain enam pegawai dan penasihat yang mendedahkan perkara itu kepada Reuters, seorang pengarah di firma milik kerajaan Indonesia yang membekalkan senjata kepada tentera republik itu turut menerima mesej sama dari Apple.

Namun, beliau enggan memberi komen meskipun terdapat dua individu mengetahui hal itu. 

Dalam tempoh beberapa minggu selepas notifikasi yang dikeluarkan Apple pada November tahun lepas, kerajaan AS menyenaraikan NSO dalam “senarai entiti” Jabatan Perdagangan, yang menyukarkan syarikat AS untuk menjalankan perniagaan dengannya, selepas menentukan bahawa teknologi penggodam telefon firma itu telah digunakan. oleh kerajaan asing untuk "menyasarkan secara jahat" penentang politik di seluruh dunia.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.