Sekurang-kurangnya 36 orang termasuk kanak-kanak maut dalam kejadian tembakan rambang di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di wilayah Nong Bua Lamphu, Thailand.
Polis Thailand berkata suspek bersenjata berusia 34 tahun itu melarikan diri dari tempat kejadian dengan menaiki kenderaan dan kemudian membunuh isteri dan anaknya sebelum membunuh diri.
Dalam satu kenyataan, polis berkata 24 kanak-kanak dan 12 dewasa terbunuh manakala 15 lagi cedera termasuk lapan cedera parah selepas kejadian tengah hari tadi.
Lelaki bersenjata yang merupakan bekas anggota polis telah diberhentikan perkhidmatan kerana kesalahan berkaitan dadah tahun lalu.
Tragedi itu berlaku kurang sebulan selepas dua anggota tentera terbunuh, dan seorang cedera dalam kejadian tembakan di Royal Thai Army War College di Bangkok pada 14 September lalu.
Dalam kejadian itu, seorang sarjan mejar berusia 59 tahun menembak mati dua rakannya.
Pada Februari 2020, seorang askar menembak mati 29 orang dan mencederakan 57 lagi dalam kejadian tembakan di empat lokasi di wilayah Nakhon Ratchasima.
Tentera berusia 32 tahun itu kemudiannya ditembak mati oleh polis 17 jam kemudian.