- Iklan -
Dunia

Jepun umum sekatan tambahan ke atas Rusia

Sekatan terbaru itu adalah susulan larangan eksport peralatan berteknologi tinggi Jepun ke Rusia pada Mei.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar diambil pada 18 Julai menunjukkan bendera Rusia berkibar di Melitopol, Zaporizhzhia, ketika pencerobohan Rusia ke atas Ukraine terus berlanjutan. Gambar: AFP
Gambar diambil pada 18 Julai menunjukkan bendera Rusia berkibar di Melitopol, Zaporizhzhia, ketika pencerobohan Rusia ke atas Ukraine terus berlanjutan. Gambar: AFP

Jepun mengumumkan sekatan tambahan ke atas Rusia pada Jumaat susulan pengilhakan ke atas empat wilayah Ukraine.

Agensi Anadolu melaporkan bahawa sebagai tindakan balas terhadap situasi di Ukraine, Menteri Luar Jepun Yoshimasa Hayashi pada sidang akhbar berkata "keputusan telah dibuat untuk mengambil langkah membekukan aset Rusia dan pihak berkepentingan serantau yang terlibat secara langsung dalam pengilhakan di beberapa kawasan di timur dan wilayah selatan Ukraine”.

“Jepun tidak boleh mengetepikan usaha unilateral untuk mengubah status quo secara kekerasan, dan perlu bertindak tegas dengan mengenakan sekatan ke atas Rusia, dan akan terus menyokong Ukraine menerusi penyelarasan masyarakat antarabangsa, termasuk negara G7,” kata Hayashi.

Tindakan Jepun membekukan aset Moscow dibuat selepas Rusia mengilhakkan empat wilayah Ukraine – Donetsk, Luhansk, Zaporizhzhia dan Kherson – susulan referendum di kawasan ini, dengan tindakan itu dikecam secara meluas oleh masyarakat antarabangsa, katanya.

Perhimpunan Agung PBB yang dianggotai 193 negara akan membincangkan pengilhakan itu pada 10 Oktober.

Sekatan terbaru oleh Tokyo adalah susulan larangan eksport peralatan berteknologi tinggi ke Rusia pada Mei lepas.

Jepun menyertai AS, UK, dan sekutu lain mengambil tindakan untuk menghukum Moscow kerana perang Ukraine. Beratus-ratus pegawai Rusia, termasuk Presiden Vladimir Putin, selain syarikat dan organisasi, terlibat dalam sekatan oleh Jepun.

Rusia bertindak balas dengan menyekat 63 pegawai kanan Jepun, termasuk Perdana Menteri Fumio Kishida.

Kini, Rusia adalah negara yang paling banyak dikenakan sekatan di dunia sejak perangnya ke atas Ukraine pada Februari tahun ini.

Menurut badan hak asasi manusia PBB, 15,246 orang awam Ukraine terjejas, termasuk 6,114 kematian dan 9,132 kecederaan dari 24 Februari hingga 2 Oktober,

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.