Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha mengarahkan pihak berkuasa mengetatkan pemilikan senjata api serta membanteras perdagangan senjata api dan pengedaran dadah di negara itu.
Arahan itu dikeluarkan susulan insiden amuk dan pembunuhan oleh seorang bekas anggota polis di pusat penjagaan kanak-kanak di Uthai Sawan, minggu lepas.
Beliau mengarahkan pihak berkuasa supaya menyiasat dan membatalkan lesen senjata api pemilik yang dilaporkan menimbulkan huru-hara dan mengancam masyarakat, kata Pemangku Jurucakap Kerajaan Anucha Burapachaisri.
"Perdana menteri juga mengarahkan pihak berkuasa supaya membanteras perdagangan senjata api dan pengedarannya di negara itu," katanya dalam satu kenyataan.
Anucha berkata Prayuth turut mengarahkan pihak berkuasa melancarkan operasi dan mengambil tindakan tegas bagi membendung penyalahgunaan dadah di negara itu.
Agensi-agensi yang berkaitan juga digesa meningkatkan rawatan termasuk menyediakan kemudahan pemulihan untuk penagih dadah.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Jeneral Damrongsak Kittiprapat berkata polis akan menarik balik senjata api daripada pegawai dan anggota polis yang didapati menyalahgunakan senjata api mereka atau menunjukkan tingkah laku agresif semasa menjalankan tugas.
Beliau berkata pemeriksaan kesihatan mental yang kerap juga perlu bagi pemegang lesen senjata api.
"Perdana menteri akan mempengerusikan mesyuarat bagi membincangkan lebih lanjut mengenai kawalan pemilikan senjata Rabu ini," katanya.
Khamis lepas, seorang anggota polis yang dipecat membunuh 36 orang termasuk 24 kanak-kanak di Uthai Sawan di wilayah Nong Bua Lamphu, kira-kira 500 kilometer (km) timur laut Bangkok.
Lelaki berusia 34 tahun itu membunuh 23 kanak-kanak yang sedang tidur selepas makan tengah hari, di pusat jagaan kanak-kanak itu.
Dia yang kemudiannya melarikan diri dari tempat kejadian dengan menaiki kenderaan, pulang ke rumah lalu membunuh isteri dan anak lelakinya sebelum maut menembak dirinya sendiri.
Pemilikan senjata api di Thailand antara yang tertinggi di Asia Tenggara. Tinjauan ke atas Senjata Kecil pada 2017 menganggarkan orang awam di negara itu memiliki 10.3 juta termasuk kira-kira empat juta senjata api tidak berlesen.