- Iklan -
Dunia

Terminal logistik 5G pertama Eropah dibuka di Hungary

Rangkaian 5G itu dibangunkan Vodafone Hungary manakala peralatan rangkaian dibekalkan Huawei dari China.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Vodafone Hungary bertanggungjawab menyiapkan terminal logistik 5G dengan bekalan kelengkapan dari Huawei. Gambar: AFP
Vodafone Hungary bertanggungjawab menyiapkan terminal logistik 5G dengan bekalan kelengkapan dari Huawei. Gambar: AFP

Terminal logistik darat pelbagai mod pertama di Eropah menggunakan teknologi 5G dibuka berhampiran perkampungan Fenyeslitke di timur Hungary pada Selasa, lapor Xinhua.

Rangkaian 5G yang diperlukan untuk projek East-West Gate (EWG) dibangunkan Vodafone Hungary manakala peralatan rangkaian dibekalkan Huawei dari China.

Terminal yang dibangunkan dengan kos lebih 40 bilion forint (AS$95.3 juta), mampu mengendali sehingga satu juta kontena dua puluh kaki (TEU) setahun, menjadikannya kemudahan terbesar di benua itu dari segi kapasiti dan keluasan.

"Dengan pembinaan projek East-West Gate itu, Hungary kembali semula dalam peta logistik rel antarabangsa," menurut ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat East-West Intermodal Logistics Janos Talosi.

Beliau berkata segala teknologi termaju telah digabungkan dalam pembinaan terminal yang menjadikan sistem pengangkutan lebih cepat dan tepat.

"Visi kami adalah untuk EWG menjadi pintu masuk ke Laluan Sutera baru," katanya kepada Xinhua di tapak pembinaan selepas majlis perasmian.

China mempromosi teknologi moden dalam rangka Inisiatif Jalur dan Laluan, oleh itu ia bukanlah suatu kebetulan mengapa EWG memilih rangkaian 5G persendirian terkini yang disediakan oleh Huawei, menurut Talosi

EWG ialah terminal pertama di Eropah yang dapat mengawal kren dari jauh menggunakan teknologi 5G. Terminal ini mempunyai satu kren gergasi selebar 41m dan dua 28m lebar di rel serta kren tayar getah setinggi 20m.

Kren yang dibekalkan syarikat Austria Kunz, dilengkapi 20 kamera resolusi tinggi yang imejnya dengan bantuan 5G, boleh dilihat dalam masa nyata di tengah terminal, membolehkan pekerja mengawal kren tersebut  jika mereka bekerja di kabin kren.

Fungsi utama terminal untuk memindahkan barangan masuk menerusi rel, sistem yang diperlukan memandangkan tolok 1,520 milimeter digunakan di Rusia dan kebanyakan negara Asia berbanding 1,435 milimeter digunakan di Eropah.

EWG juga mempunyai kapasiti besar untuk pemindahan produk pertanian dan tidak lama lagi boleh menjadi hab rel terbesar untuk eksport makanan Ukraine. Pada perasmian itu, kereta api pertama yang membawa barangan pertanian dari Ukraine masuk ke terminal.

Mulai November 2022, terminal itu dijangka mampu mengendalikan 800 tan bijirin dan 450 meter padu minyak bunga matahari sejam, menjadikannya hab rel terbesar untuk eksport makanan Ukraine, menurut syarikat itu.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi