- Iklan -
Dunia

Venezuela beri tempoh 2 bulan kepada AS untuk mohon ekstradisi Fat Leonard

Jika pihak berkuasa AS tidak memenuhi syarat itu, ahli perniagaan Malaysia itu akan dibebaskan.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Leonard Glenn Francis (tengah) menyediakan wang tunai, barangan mewah dan pesta seks kepada pegawai Tentera Laut AS sebagai pertukaran maklumat rahsia tentera. Gambar: Tangkap layar YouTube
Leonard Glenn Francis (tengah) menyediakan wang tunai, barangan mewah dan pesta seks kepada pegawai Tentera Laut AS sebagai pertukaran maklumat rahsia tentera. Gambar: Tangkap layar YouTube

Mahkamah Venezuela memutuskan untuk memberi kerajaan Amerika Syarikat (AS) tempoh 60 hari untuk memohon ekstradisi ahli perniagaan dalam buruan Malaysia, Leonard Glenn Francis atau dikenali dengan gelaran "Fat Leonard," yang terlibat dalam kes rasuah Tentera Laut AS.

Keputusan mahkamah itu dibuat minggu lalu namun hanya diumumkan pada Rabu oleh wartawan dan media rasmi.

Francis ditahan pada 21 September di lapangan terbang utama Caracas ketika dia bersedia untuk berlepas ke Rusia. 

Kerajaan AS sebelum ini telah mengeluarkan permintaan notis merah melalui Interpol untuk penahanannya.

Keputusan mahkamah itu dibuat ketika hubungan tegang antara Washington dan Caracas semakin baik dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Mahkamah berkata ia akan memaklumkan perkara itu kepada AS melalui Kementerian Luar Venezuela, termasuk keputusannya supaya permohonan ekstradisi rasmi difailkan dalam tempoh dua bulan termasuk bukti jenayah yang didakwa terhadap Francis.

Sekiranya pihak berkuasa AS tidak mematuhi syarat tersebut dalam tempoh dua bulan, "pembebasan tanpa had" ahli perniagaan itu akan diberikan, kata mahkamah dalam keputusannya bertarikh 13 Oktober.

Francis tiba di Venezuela dari Mexico melalui Cuba dan merancang untuk pergi ke Rusia, menurut Interpol Venezuela.

Dia dilaporkan menanggalkan gelang pemantauannya dan melarikan diri daripada penahanan rumah di AS menjelang hukuman yang sepatutnya diputuskan pada September lalu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.