- Iklan -
Dunia

Ukraine perlukan AS$4 bilion harungi musim sejuk

Ukraine berdepan krisis tenaga menjelang musim sejuk susulan konflik dengan Rusia yang bermula Februari lalu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Suasana kemusnahan sebuah rumah akibat serangan Rusia ke atas Ukraine pada 11 Oktober lalu. Gambar: Reuters
Suasana kemusnahan sebuah rumah akibat serangan Rusia ke atas Ukraine pada 11 Oktober lalu. Gambar: Reuters

Ukraine memerlukan kira-kira AS$4 bilion bagi mengharungi musim sejuk, lapor Xinhua memetik laporan agensi berita Interfax-Ukraine pada Selasa.

"Kami memerlukan €4 bilion (AS$3.97 bilion) bagi mengharungi musim sejuk ini -- untuk mengubah suai rumah, menyokong penjagaan kesihatan dan bekalan tenaga," kata Menteri Pembangunan Komuniti dan Wilayah Ukraine Oleksiy Chernyshov pada Persidangan Pakar Antarabangsa mengenai Pemulihan, Pembinaan Semula dan Pemodenan Ukraine di Berlin, Jerman.

Selain itu, Ukraine tidak mempunyai peralatan sokongan bagi bekalan air dan kuasa, seperti stesen pembersihan air mudah alih, stesen pemanasan mudah alih, penjana diesel dan pemanas elektrik, kata menteri itu.

Ukraine berdepan krisis tenaga menjelang musim sejuk susulan konflik dengan Rusia yang bermula pada 24 Februari.

Pada 18 Oktober, Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berkata bahawa serangan Rusia telah memusnahkan kira-kira 30% stesen janakuasa Ukraine, menyebabkan gangguan bekalan elektrik besar-besaran di seluruh negara.