- Iklan -
Dunia

Bandar di seluruh China perketat sekatan Covid-19

China berikrar untuk terus melaksanakan dasar sifar Covid-19 dan melaksanakan langkah yang diperlukan untuk membendung virus itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Anggota keselamatan memakai baju pelindung di pagar sebuah bangunan perumahan yang kini ditutup berikutan penularan Covid-19 di Beijing. Gambar: Reuters
Anggota keselamatan memakai baju pelindung di pagar sebuah bangunan perumahan yang kini ditutup berikutan penularan Covid-19 di Beijing. Gambar: Reuters

Bandar-bandar di China dari Wuhan ke Xining di barat laut negara itu menggandakan sekatan Covid-19 dengan menutup premis bangunan dan daerah bagi mengekang penularan virus, sekali gus mengakibatkan jutaan rakyat terjejas.

Pada Khamis, negara itu mencatatkan lebih 1,000 kes Covid-19 bagi tiga hari berturut-turut di seluruh negara itu, jumlah sederhana berbanding puluhan ribu kes sehari yang menyebabkan Shanghai terpaksa berkurung sepenuhnya awal tahun ini.

Jumlah kes di negara itu kekal kecil mengikut piawaian global, namun langkah pembendungan yang dilaksanakannya sangat ketat sehingga membebankan negara ekonomi kedua terbesar di dunia itu, termasuk gangguan pasaran kewangan.

Guangzhou, bandar keempat terbesar menutup lebih banyak jalan dan kawasan kejiranan selain mengarahkan orang ramai duduk di rumah mereka ketika beberapa kawasan baru dikenal pasti berisiko tinggi bagi penularan Covid-19 yang berterusan hingga minggu keempat.

Di Wuhan, wilayah pertama penularan wabak Covid-19 pada akhir 2019 melaporkan sekitar 20 hingga 25 jangkitan baru setiap hari minggu ini.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan mengarahkan lebih 800,000 orang di satu daerah untuk tinggal di rumah sehingga 30 Oktober ini.

Pihak berkuasa juga turut melaksanakan larangan jualan daging babi di beberapa bahagian bandar itu, menurut imej dan hantaran di media sosial, selepas satu kes Covid-19 didapati berkait dengan rantaian bekalan daging babi tempatan.

Di Beijing, taman tema Universal Resort ditutup pada Rabu selepas sekurang-kurangnya seorang pengunjung disahkan positif Covid-19.

China berulang kali berikrar untuk berpegang dengan dasar sifar Covid-19 dan melaksanakan semua langkah yang perlu bagi membendung virus itu.