Bekas presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dari Parti Pekerja (PT) memenangi pusingan kedua pemilihan presiden pada Ahad dan akan memulakan tugasnya bermula 1 Januari 2023 untuk penggal empat tahun, lapor Xinhua.
Menurut data dikeluarkan Tribunal Pilihan Raya, Lula da Silva memperoleh 59.8 juta undi (50.86%) mengatasi Presiden semasa Jair Bolsonaro dari Parti Liberal (PL) dengan 57.8 juta undi (49.14%).
Keputusan itu sekali gus mencatatkan kemenangan tipis dalam sejarah pilihan raya presiden Brazil.
Pada pusingan pertama 2 Oktober lalu, Lula da Silva memperoleh 48.3% undian berbanding Bolsonaro yang menerima 43.2%.
Dalam kempen pilihan rayanya, Lula da Silva menumpukan isu sosial termasuk berikrar melaksanakan kenaikan gaji minimum, pengukuhan syarikat milik kerajaan dan usaha membasmi kelaparan dan kemiskinan.