- Iklan -
Dunia

PBB, Turkiye, Ukraine teruskan perjanjian bijirin Laut Hitam walaupun Rusia tarik diri

Ia adalah bagi membendung krisis makanan global akibat konflik antara Ukraine dan Rusia.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Anggota keselamatan Ukraine berkawal di pelabuhan Odesa, Ukraine pada 29 Julai. Gambar: Reuters
Anggota keselamatan Ukraine berkawal di pelabuhan Odesa, Ukraine pada 29 Julai. Gambar: Reuters

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Turkiye dan Ukraine meneruskan pelaksanaan perjanjian bijirin Laut Hitam dengan pelan transit disediakan untuk 16 kapal hari ini, meskipun Rusia menggantung penyertaannya dalam pakatan yang sebelum ini membenarkan eksport produk pertanian Ukraine ke pasaran dunia.

Rusia, yang menyerang Ukraine sejak 24 Februari lalu, menghentikan peranannya dalam perjanjian Laut Hitam pada Sabtu lalu bagi 'tempoh yang tidak ditentukan'.

Moscow berkata keputusan itu diambil kerana tidak dapat “menjamin keselamatan kapal awam” yang melakukan perjalanan di bawah pakatan itu selepas serangan ke atas armadanya di Laut Hitam.

Namun, dua negara penyelaras utama dalam kerjasama itu, PBB dan Turkiye masih berusaha untuk menyelamatkan kesepakatan yang dicapai pada Julai lalu.

Menurut jurucakap Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres amat bimbang mengenai tindakan Rusia yang menarik diri sekali gus menangguhkan perjalanan kapal asing sementara pihaknya cuba menghidupkan semula perjanjian bagi bertujuan meredakan krisis makanan global.

Susulan langkah Rusia itu, penganalisis berpendapat, harga gandum di pasaran komoditi antarabangsa dijangka melonjak hari ini berikutan kedua-dua negara, Rusia dan Ukraine adalah antara pengeksport gandum terbesar dunia.

Sejak Julai lalu, kira-kira 9.5 juta tan jagung, gandum, produk bunga matahari, barli, biji sawi dan soya dieksport susulan persefahaman yang dicapai.

Di bawah persetujuan itu, Pusat Koordinasi Bersama (JCC) yang terdiri daripada pegawai PBB, Turkiye, Rusia dan Ukraine bersetuju perkara berkaitan transit dan pemeriksaan kapal.

Susulan perkembangan terbaru membabitkan keputusan Russia, tiada kapal bergerak melalui koridor kemanusiaan maritim sejak semalam.

Bagaimanapun, PBB dalam kenyataannya berkata, pihaknya sudah bersetuju dengan Ukraine dan Turkiye mengenai pelan pergerakan untuk 16 kapal pada hari ini dengan 12 keluar dan empat lagi kapal memasuki pelabuhan di Laut Hitam.

Katanya, pegawai Rusia di JCC sudah dimaklumkan mengenai rancangan itu, bersama-sama dengan hasrat untuk memeriksa 40 kapal yang keluar pada hari ini.

Difahamkan, semua peserta menyelaras dengan pihak tentera masing-masing dan pihak berkuasa lain yang berkaitan untuk memastikan laluan selamat bagi kapal komersial di bawah perjanjian itu.

Menteri Pertahanan Turkiye, Hulusi Akar, berkata pihaknya sudah berhubung dengan rakan sejawat Rusia dan Ukraine untuk berusaha menyelamatkan perjanjian itu dan meminta pihak berkenaan mengelakkan sebarang provokasi.

Nato dan Kesatuan Eropah turut menggesa Rusia untuk mempertimbangkan semula keputusannya. 

Presiden AS Joe Biden pada hari Sabtu menyifatkan langkah Rusia itu “keterlaluan" dan berkata ia akan meningkatkan kebuluran. 

Sementara itu, Setiausaha Negara AS Antony Blinken menuduh Moscow menggunakan makanan sebagai senjata.

Pada Ahad, duta Rusia ke Washington membidas kenyataan tersebut, mengatakan tindak balas AS adalah "keterlaluan" dan membuat dakwaan palsu mengenai langkah yang diambil pihak Moscow.

Perjanjian bijirin itu memulakan semula penghantaran dari Ukraine, yang membolehkan jualan di pasaran dunia, menyasarkan ia pulih ke tahap sebelum perang sebanyak lima juta tan metrik dieksport dari Ukraine setiap bulan.

Perjanjian itu memastikan laluan selamat masuk dan keluar dari Odesa dan dua pelabuhan Ukraine yang lain.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, mendakwa Rusia mahu meningkatkan krisis, dengan mengatakan 218 kapal disekat dan menunggu sama ada untuk membawa makanan atau memasuki pelabuhan Ukraine.

Katanya, 40,000 tan gandum dimuatkan ke sebuah kapal di pelabuhan Chornomorsk, disewa oleh Program Makanan PBB dan bertujuan untuk Ethiopia yang didakwanya "di ambang kebuluran" seperti mana Yaman dan Somalia, yang turut menghadapi "malapetaka" kekurangan makanan.