- Iklan -
Dunia

Mahkamah AS hukum penjara 20 tahun ke atas ketua unit wanita Daesh

Allison Fluke-Ekren mengaku bersalah pada Jun memberikan sokongan material atau sumber kepada organisasi pengganas itu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Allison Fluke-Ekren, 42, berasal dari Kansas, AS mengaku menubuhkan unit khas wanita Daesh yang memberikan latihan menggunakan senjata api dan bom. Gambar: AFP
Allison Fluke-Ekren, 42, berasal dari Kansas, AS mengaku menubuhkan unit khas wanita Daesh yang memberikan latihan menggunakan senjata api dan bom. Gambar: AFP

Mahkamah AS menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun ke atas seorang wanita Amerika pada Selasa kerana menubuhkan dan mengetuai batalion militan Daesh yang dianggotai wanita, untuk berperang bagi pihak kumpulan pengganas di Syria, menurut Jabatan Kehakiman.

Agensi Anadolu melaporkan Allison Fluke-Ekren, 42, mengaku bersalah pada Jun serta mengaku bersubahat untuk memberikan sokongan material atau sumber kepada organisasi pengganas asing itu.

Dia mengakui menubuhkan Katiba Nusaybah dan melatih lebih 100 wanita dan kanak-kanak perempuan termasuk beberapa orang berusia seawal 10 tahun untuk berjuang bagi pihak Daesh mempertahan bekas ibu kotanya Raqqah di Syria, menurut jabatan itu.

Fluke-Ekren, seorang guru terlatih dari negeri Kansas yang memeluk Islam, adalah wanita Amerika pertama yang didakwa dengan jayanya atas peranan kepimpinannya dalam kumpulan pengganas antarabangsa itu, lapornya.

Dokumen mahkamah menyebut pada 2008 Fluke-Ekren berpindah ke Mesir bersama suami keduanya, Volkan Ekren, ahli kumpulan pengganas Ansar al-Sharia yang telah meninggal dunia, sebelum berpindah ke Libya pada 2011.

Pada 2012, wanita itu mengembara dari Libya ke Türkiye dan kemudian ke Syria yang berada di tengah-tengah konflik yang semakin meningkat.

Suaminya menjadi ketua Daesh sebagai penembak tepat di Syria pada 2014, dan pada masa itu, Fluke-Ekren bercakap tentang hasratnya untuk melancarkan serangan ke atas AS, seorang saksi memberitahu mahkamah.

Pada 2016, dia dilantik untuk mengasas dan mengetuai "pusat wanita" di Raqqah, dan melatih wanita dan gadis menggunakan senapang AK-47, bom tangan dan tali pinggang bunuh diri.

Katibah Nusaybah secara rasmi memulakan operasi pada Februari 2017 apabila penguasaan wilayah Daesh mula jatuh di Syria. Raqqah jatuh pada bulan Oktober tahun itu.

Fluke-Ekren cuba melarikan diri dan meminta seseorang untuk memberitahu keluarganya bahawa dia meninggal dunia di Syria untuk mengelak daripada ditangkap, menurut perjanjian rayuannya. Dia dibawa ke AS pada Januari selepas ditahan di Syria.