Sekurang-kurangnya 150 orang maut dalam ribut tropika Nalgae yang melanda Filipina pada hujung minggu lepas, yang mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh di banyak bahagian negara Asia Tenggara itu, kata kerajaan pada Khamis.
Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan berkata 94 orang disahkan mati manakala identiti 56 yang maut sedang disahkan.
Daripada 36 orang yang dilaporkan hilang, identiti 28 orang telah disahkan oleh agensi itu dan usaha mengenal pasti identiti lapan yang lain masih dijalankan, lapor Xinhua.
Agensi itu berkata ribut tropika itu menjejaskan lebih 3.9 juta orang, merosakkan 499 jalan dan 120 jambatan serta menyebabkan bekalan elektrik terputus di banyak kawasan.
Nalgae merupakan taufan tropika ke-16 yang melanda Filipina tahun ini. Ia melanda Catanduanes, sebuah wilayah kepulauan di wilayah Bicol, sebelum subuh Sabtu.
Filipina adalah antara negara yang paling terdedah kepada bencana alam kerana lokasinya di Lingkaran Api Pasifik dan Lingkaran Taufan Pasifik.
Secara purata, 20 taufan membadai negara kepulauan itu setiap tahun dengan beberapa daripadanya kuat dan memusnahkan.
Pada April, ribut tropika Megi mencurahkan hujan di bahagian tengah dan selatan Filipina dan membanjiri banyak kawasan serta menyebabkan tanah runtuh selain mengorbankan lebih 220 penduduk.