- Iklan -
Dunia

8 wartawan ditembak mati di Haiti setakat November

Fritz Dorilas yang bekerja dengan Radio Tele Megastar ditembak mati semasa pertempuran kumpulan berhampiran rumahnya di kejiranan Tabarre di ibu negara Port-au-Prince.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Suasana pasar di sebuah kejiranan di Port-au-Prince, Haiti, 13 Oktober. Gambar: Reuters
Suasana pasar di sebuah kejiranan di Port-au-Prince, Haiti, 13 Oktober. Gambar: Reuters

Seorang lelaki yang ditembak mati pada hujung minggu merupakan wartawan kelapan terbunuh di Haiti tahun ini, kata Persatuan Akhbar Antara Amerika (IAPA).

Fritz Dorilas yang bekerja dengan Radio Tele Megastar ditembak mati berhampiran rumahnya di kejiranan Tabarre di ibu negara Port-au-Prince semasa pertempuran kumpulan pada 5 November, lapor Anadolu Agency memetik akhbar tempatan.

Laporan lain menyebut Dorilas dibawa lari secara paksa dari rumahnya dan dibunuh. Polis masih belum memaklumkan bagaimana kematiannya itu berlaku.

"Kami kesal dengan jenayah berdarah terhadap wartawan tahun ini di rantau kami," kata Carlos Jornet, pengerusi Jawatankuasa Kebebasan Akhbar dan Maklumat IAPA.

"Keadilan yang tidak dilaksanakan telah memberi lebih banyak insentif kepada individu ganas."

Nasib Dorilas adalah sama dengan tujuh lagi wartawan yang terkorban dalam insiden keganasan di negara ini tahun ini.

Kurang seminggu lepas, seorang lagi wartawan Haiti, Romelson Vilsaint, meninggal dunia semasa protes di Port-au-Prince, dan bulan lalu pihak berkuasa menemui mayat wartawan radio Garry Tess.

Dua wartawan Haiti, Frantzsen Charles dan Tayson Lartigue, ditembak dan mayat mereka dibakar di Port-au-Prince pada September.

Pada Januari, dua lagi wartawan dibunuh oleh ahli kumpulan semasa melaporkan diri di La Boule, sebuah kawasan di selatan Port-au-Prince. Wilguens Louissaint dan Amady John Wesley dibakar hidup-hidup semasa cuba membuat laporan di kawasan itu.

Pertempuran antara kumpulan bersenjata telah menyebabkan ratusan orang mati di negara itu dan mendorong ribuan orang untuk melarikan diri daripada keganasan di Port-au-Prince, menurut pihak berkuasa.

Kerajaan Haiti dan PBB telah meminta bantuan keselamatan antarabangsa untuk menangani peningkatan keganasan yang berterusan.

Krisis dan huru-hara semakin memuncak di Haiti sejak beberapa hari lalu selepas sekatan oleh kumpulan penjenayah menyebabkan kekurangan makanan, air dan bahan api, ketika negara itu menangani wabak taun.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi