- Iklan -
Dunia

Apple tidak berhasrat keluarkan Twitter dari App Store, kata Elon Musk

CEO Twitter itu berkata wujud salah faham antara Twitter dan Apple dan sudah menyelesaikannya dengan Tim Cook mengetuai gergasi teknologi itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Logo Twitter di ibu pejabatnya di San Francisco, California, Amerika Syarikat pada 18 November. Gambar: Reuters
Logo Twitter di ibu pejabatnya di San Francisco, California, Amerika Syarikat pada 18 November. Gambar: Reuters

Ketua Pegawai Eksekutif Apple Tim Cook tidak bercadang untuk mengeluarkan platform media sosial Twitter daripada App Store (kedai aplikasinya) walaupun terdapat laporan bahawa gergasi teknologi itu mengancam berbuat demikian sebelum ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Twitter Elon Musk.

“Perbualan yang baik. Antara lain, kami menyelesaikan salah faham tentang Twitter yang berpotensi dikeluarkan daripada App Store. Tim menjelaskan bahawa Apple tidak berhasrat untuk berbuat demikian,” kata Musk pada Rabu selepas menghadiri mesyuarat di ibu pejabat Apple, lapor Sputnik.

Pada Isnin, Musk mendakwa Apple mengancam untuk mengeluarkan Twitter daripada kedai aplikasinya, yang akan mengakibatkan platform itu tidak dapat diakses oleh sebahagian besar telefon bimbit.

Spekulasi mengenai isu itu didorong laporan bahawa eksekutif Apple Phil Schiller meninggalkan Twitter susulan pembaharuan yang dibuat Musk.

Musk memuktamadkan pemerolehan Twitter pada Oktober dan berikrar untuk meningkatkan kebebasan bersuara.

Syarikat itu turut mengembalikan semula banyak akaun yang disekat sebelum ini, termasuk akaun milik bekas presiden Donald Trump.

Musk berkata beliau akan mencipta telefon pintar baru jika Apple atau Google mengeluarkan Twitter daripada kedai aplikasi mereka.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.