- Iklan -
Dunia

Bot pelarian Rohingya mendarat di Indonesia, 20 meninggal dunia

Pelarian terkandas beberapa minggu di perairan Lautan Hindi.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Pelarian Rohingya mendapat rawatan di pusat perlindungan sementara di Pidie, Aceh, Indonesia pada 26 Disember. Gambar: Reuters
Pelarian Rohingya mendapat rawatan di pusat perlindungan sementara di Pidie, Aceh, Indonesia pada 26 Disember. Gambar: Reuters

Sekurang-kurangnya 20 orang pelarian etnik Rohingya meninggal dunia di perairan Lautan Hindi selepas bot dinaiki mereka terkandas sejak beberapa minggu lalu, kata agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) pada Selasa.

Ia disahkan selepas bot yang membawa ratusan pelarian itu mendarat di Indonesia.

Sebuah bot membawa 174 pelarian Rohingya mendarat di wilayah Aceh Indonesia pada Isnin, di mana kebanyakan mereka letih dan dahaga selain memerlukan rawatan perubatan segera selepas beberapa minggu terkandas di laut, kata pegawai agensi bencana tempatan.

Chris Lewa dari Projek Arakan, sebuah badan yang memberi sokongan kepada etnik Rohingya, berkata bot itu sama dilaporkan hilang sebelum ini dan dikhuatiri karam.

Pada Isnin, UNHCR berkata tahun 2022 mungkin menjadi tahun paling dahsyat bagi pelarian Rohingya kerana semakin ramai daripada mereka melarikan diri daripada keadaan terdesak di kem pelarian di Bangladesh.

Etnik Rohingya menjadi mangsa penganiayaan di Myanmar yang mempunyai majoriti penduduk yang menganut agama Buddha. 

Ramai daripada etnik itu melarikan diri ke negara-negara seperti Thailand, Malaysia dan Indonesia yang majoritinya beragama Islam antara November dan April selepas perairan laut menjadi lebih tenang.

Hampir sejuta pelarian hidup dalam keadaan sesak di Bangladesh, termasuk ratusan ribu lagi yang melarikan diri daripada tindakan ganas tentera Myanmar sejak 2017.

Kumpulan hak asasi manusia merekodkan peningkatan ketara jumlah pelarian yang meninggalkan kem, daripada kira-kira 500 orang tahun lalu sehingga dianggarkan 2,400 lagi melarikan diri tahun ini. 

Bagaimanapun, masih tidak jelas punca yang mendorong etnik itu melarikan diri dari kem pelarian di Bangladesh.

Sesetengah aktivis percaya sekatan Covid-19 yang sudah dilonggarkan di seluruh Asia Tenggara menjadi punca mengapa negara-negara itu kini menjadi destinasi pilihan bagi etnik itu.

“Kami lari ke sini dari kem pelarian terbesar Bangladesh dengan harapan rakyat Indonesia memberi peluang pendidikan kepada kami,” kata Umar Farukh, salah seorang pelarian yang kini ditempatkan di pusat perlindungan di Indonesia.

Kumpulan pelarian itu adalah yang terbaru dalam siri pendaratan dan penyelamatan bot di sekitar wilayah tersebut dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Terdapat 57 lagi pelarian Rohingya tiba di Aceh pada Ahad, manakala dua lagi bot yang membawa 230 orang mendarat pada November lalu.

Awal bulan ini, tentera laut Sri Lanka menyelamatkan 104 Rohingya, manakala pihak berkuasa Thailand menyelamatkan enam pelarian yang ditemui berpaut pada sebuah tangki air.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.