- Iklan -
Dunia

Brazil beri penghormatan terakhir kepada legenda bola sepak Pele

Pele akan disemadikan di perkuburan persendirian di Santos yang terletak 60km dari Sao Paulo.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Peminat berbaris untuk memberikan penghormatan terakhir kepada legenda bola sepak Pele di Stadium Vila Belmiro, Santos, Brazil. Gambar: Reuters
Peminat berbaris untuk memberikan penghormatan terakhir kepada legenda bola sepak Pele di Stadium Vila Belmiro, Santos, Brazil. Gambar: Reuters

Ribuan peminat berhimpun di bandar Santos, Brazil untuk memberikan penghormatan terakhir kepada legenda bola sepak Edson Arantes do Nascimento atau lebih dikenali sebagai Pele yang meninggal dunia pada usia 82 tahun akibat kanser kolon.

Jasadnya ditempatkan di Stadium Urbano Caldira bagi membolehkan peminat memberi penghormatan terakhir. 

Antara yang hadir ialah presiden FIFA Gianni Infantino dan ketua konfederasi bola sepak CONMEBOL Amerika Selatan, Alejandro Dominguez, lapor Xinhua.

Infantino bercadang untuk mengesyorkan semua persekutuan bola sepak di seluruh dunia menamakan stadium sempena nama Pele yang pernah merangkul juara Piala Dunia Fifa sebanyak tiga kali (1958, 1962 dan 1970) bersama dengan pasukan Brazil. 

"Kami akan meminta semua persekutuan di seluruh dunia menamakan sebuah stadium sempena nama Pele. Saya fikir anak muda, generasi akan datang perlu mengenali dan mengingati siapa Pele dan kegembiraan yang dibawanya kepada dunia," kata Infantino .

Pele yang meninggal dunia Khamis lalu akan disemadikan di perkuburan persendirian di Santos, sebuah bandar pantai yang terletak 60km dari Sao Paulo.

Kerajaan Brazil bercadang menamakan semula pelabuhan terbesar di Brazil dan Amerika Latin, Pelabuhan Santos sempena nama legenda bola sepak itu, kata gabenor negeri Sao Paulo, Tarcisio de Freitas.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.