Lonjakan jumlah kos kebanyakan komoditi makanan akibat gangguan bekalan selepas Rusia memulakan pencerobohan terhadap Ukraine menimbulkan kebimbangan kurang bekalan, di mana ia menjadi punca indeks harga purata berada di paras tertinggi pernah direkodkan agensi makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pada Jumaat, indeks harga makanan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) mencatatkan purata 143.7 mata pada 2022, meningkat sebanyak 14.3% berbanding 2021, menjadikannya purata tertinggi sejak ia mula direkodkan pada 1990, kata agensi yang menjejaki harga antarabangsa bagi komoditi makanan paling banyak didagangkan secara global itu.
Indeks itu meningkat 28% pada 2021 berbanding tahun sebelumnya ketika ekonomi dunia mulai pulih daripada kesan pandemik.
Harga makanan melonjak selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada Februari tahun lalu berikutan kebimbangan gangguan bekalan berlaku dalam aktiviti perdagangan di Laut Hitam.
Pada Disember, paras utama indeks itu jatuh bagi sembilan bulan berturut-turut kepada 132.4 mata, berbanding 135.00 mata pada November.
"Harga komoditi makanan yang lebih stabil sangat dialu-alukan selepas dua tahun keadaannya yang tidak menentu," kata Ketua Ekonomi FAO Maximo Torero.
Penurunan indeks pada Disember didorong oleh penurunan harga minyak sayuran antarabangsa, selain beberapa kali penurunan yang berlaku bagi komoditi bijirin dan daging, namun ia dapat dibendung dengan peningkatan harga gula dan tenusu, kata FAO.
Sepanjang 2022, empat daripada lima sub-indeks makanan FAO – bijirin, daging, produk tenusu dan minyak sayuran – telah mencatat rekod tertinggi, manakala bagi komoditi gula, ia mencatat rekod tertinggi dalam tempoh 10 tahun.
Indeks Harga Bijirin FAO meningkat 17.9% pada 2022 disebabkan beberapa faktor termasuk gangguan pasaran, kos tenaga dan input yang meningkat lebih tinggi, cuaca buruk dan permintaan makanan global yang terus kukuh, kata FAO.