- Iklan -
Luar Sana

Gelombang Covid-19 di China dijangka berlarutan 3 bulan, kata pakar

Jangkitan dijangka meningkat di kawasan luar bandar ketika ratusan juta rakyat negara itu pulang ke kampung bagi menghabiskan cuti Tahun Baharu Cina yang bermula 21 Januari ini.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai berbaris di pejabat kerajaan untuk menunggu giliran bagi memperbaharui pasport dan permit perjalanan selepas kerajaan China membuka semula sempadannya Ahad lalu. Gambar: Reuters
Orang ramai berbaris di pejabat kerajaan untuk menunggu giliran bagi memperbaharui pasport dan permit perjalanan selepas kerajaan China membuka semula sempadannya Ahad lalu. Gambar: Reuters

Kemuncak gelombang penularan Covid-19 China dijangka berlarutan dua hingga tiga bulan, dan ia akan melanda kawasan luar bandar yang terhad dengan bekalan perubatan dalam masa terdekat, kata seorang pakar epidemiologi China. 

Jangkitan dijangka meningkat di kawasan luar bandar ketika ratusan juta rakyat negara itu pulang ke kampung bagi menghabiskan cuti Tahun Baharu Cina yang bermula 21 Januari ini. Ia dianggap sebagai penularan besar-besaran di dunia.

China bulan lalu membuat kejutan apabila menarik balik sekatan pergerakan secara besar-besaran hingga mencetuskan bantahan di seluruh negara pada akhir November. Republik itu membuka semula pintu sempadannya Ahad lalu.

Menurut media kerajaan, tindakan menarik balik semula sekatan secara tiba-tiba mengakibatkan virus merebak ke atas 1.4 bilion penduduk China, lebih satu pertiga daripada mereka tinggal di kawasan di mana jangkitan sudah melepasi kemuncaknya.

Bekas ketua ahli epidemiologi di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China, Zeng Guang menurut laporan yang diterbitkan dalam media tempatan Caixin berkata wabak terburuk itu belum berakhir.

"Tumpuan dan keutamaan kami adalah di bandar-bandar besar. Sudah tiba masanya untuk memberi tumpuan kepada kawasan luar bandar," Zeng dipetik sebagai berkata. 

Beliau berkata sebilangan besar penduduk di luar bandar, di mana kemudahan perubatan agak terhad, adalah mereka yang diabaikan, warga emas, orang sakit dan orang kurang upaya. 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) minggu ini juga memberi amaran tentang risiko jangkitan Covid-19 yang berpunca daripada perjalanan rentas sempadan ketika cuti Tahun Baharu Cina.

Agensi PBB itu berkata China sangat kurang melaporkan angka kematian akibat Covid, walaupun republik tersebut kini menyediakan lebih banyak maklumat mengenai wabak berkenaan. 

Kementerian luar China berkata pegawai kesihatan negara itu mengadakan lima perbincangan secara teknikal dengan WHO sejak sebulan lalu dan ia telus.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.