Kebanyakan pejabat kerajaan, universiti dan sekolah di seluruh Iran kekal ditutup Ahad ketika gelombang sejuk melanda negara itu selain kekurangan bekalan gas.
Penurunan suhu secara mendadak dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, termasuk di ibu negara Tehran, menyebabkan penggunaan tenaga meningkat yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Pegawai berkata langkah itu bertujuan mengurus penggunaan gas bagi memastikan tiada kekurangan bekalan gas untuk isi rumah dan perkhidmatan kecemasan, lapor Agensi Anadolu.
Menurut kementerian minyak Iran, penggunaan gas di negara itu melonjak 30% tahun ini berbanding musim sejuk lepas yang mendorong pihak berkuasa menutup pejabat dan institusi pendidikan.
Hanya satu pertiga cawangan setiap bank di wilayah Tehran dibuka Ahad mengikut arahan gabenor wilayah manakala kelas sekolah dan universiti dijalankan secara dalam talian.
Dalam pertemuan dengan pegawai National Iranian Gas Company (NIGC) pada Ahad, Presiden Ebrahim Raisi menggesa pelaksanaan langkah-langkah bagi mencegah gangguan gas secara besar-besaran di seluruh negara.
Kekurangan gas di negara itu berlaku selepas Turkmenistan memotong bekalan gasnya ke Iran tahun ini susulan permintaan domestik yang lebih tinggi.
Menurut perjanjian yang ditandatangani pada Disember 2021 antara Iran, Turkmenistan dan Azerbaijan, 1.5 hingga 2 bilion meter padu gas dihantar setiap tahun dari Turkmenistan ke Azerbaijan melalui Iran, dengan Iran mengambil bahagiannya untuk memenuhi keperluan gas wilayah timur laut.
Iran mempunyai rizab minyak dan gas terbesar di rantau ini, bersamaan dengan 1.2 trilion tong, yang belum diterokai sepenuhnya.