- Iklan -
Luar Sana

Nahas pesawat di Nepal, 67 maut setakat ini

Usaha mengesan lima orang lagi mangsa sedang giat dijalankan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pasukan mencari dan menyelamat membawa keluar mayat mangsa yang maut dalam nahas pesawat di Pokhara pada 15 Januari 2023. Sekurang-kurangnya 67 orang disahkan maut apabila pesawat membawa 72 penumpang dan anak kapal terhempas di Nepal. Gambar: AFP

Sekurang-kurangnya 67 orang disahkan terbunuh apabila sebuah pesawat  yang membawa 68 penumpang dan empat anak kapal terhempas di Nepal pagi semalam.

Jurucakap Tentera Nepal Krishna Bhandari memberitahu Agensi Anadolu bahawa 67 mayat ditemukan dari lokasi nahas setakat ini.

Usaha mengesan lima orang lagi mangsa sedang giat dijalankan.

Pegawai kanan di Kementerian Dalam Negeri Fanindra Mani Pokharel, memberitahu bahawa pesawat penumpang yang dikendalikan Yeti Airlines terhempas berhampiran Pokhara, sebuah destinasi pelancongan popular yang terletak 200 kilometer (120 batu) dari barat Kathmandu.

Jurucakap Polis Nepal Tek Prasad Rai memaklumkan bahawa anggota polis dan tentera dikerah ke lokasi nahas.

Perdana Menteri Nepal Pushpa Kamal Dahal melahirkan rasa sedih atas "kemalangan tragis Yeti Airlines ANC ATR 72 yang dalam perjalanan dari Kathmandu ke Pokhara."

"Saya dengan tulus merayu kepada anggota keselamatan, semua agensi kerajaan Nepal, dan orang awam untuk memulakan penyelamatan yang berkesan," menurut ciapannya di Twitter.

Kedutaan India di Kathmandu pada Ahad mendedahkan  maklumat yang diberikan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal bahawa lima warga India menaiki penerbangan itu.

"Kedutaan sedang berhubung dengan pihak berkuasa tempatan dan sedang memantau keadaan," menurut misi itu.