- Iklan -
Luar Sana

Menteri dalam negeri Ukraine antara 18 maut dalam nahas helikopter

Nahas yang berlaku berdekatan taska dan kawasan perumahan itu turut mencederakan 29 yang lain, termasuk 15 kanak-kanak.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Lokasi di mana sebuah helikopter terjunam ke atas sebuah bangunan kediaman, di tengah-tengah serangan Rusia ke atas Ukraine, di bandar Brovary, luar Kyiv, Ukraine, 18 Januari. Gambar: Reuters
Lokasi di mana sebuah helikopter terjunam ke atas sebuah bangunan kediaman, di tengah-tengah serangan Rusia ke atas Ukraine, di bandar Brovary, luar Kyiv, Ukraine, 18 Januari. Gambar: Reuters

Lapan belas orang termasuk menteri dalam negeri Ukraine, pegawai kanan kementerian dan tiga kanak-kanak terbunuh apabila sebuah helikopter terhempas berhampiran taska di luar Kyiv, kata pegawai Ukraine, hari ini. 

Gabenor Kyiv Oleksiy Kuleba, berkata 29 orang turut cedera, termasuk 15 kanak-kanak, apabila helikopter itu terjunam di kawasan perumahan di Brovary, timur laut ibu negara itu. 

Beberapa mayat bergelimpangan di halaman berhampiran taska yang turut rosak. Pasukan kecemasan berada di tempat kejadian. Serpihan bertaburan di atas taman permainan. 

Ketua Polis Ukraine Ihor Klymenko berkata menteri dalam negeri Denys Monastyrskyi maut bersama timbalan pertamanya, Yevheniy Yenin, dan pegawai lain dalam nahas helikopter milik perkhidmatan kecemasan negeri. 

"Terdapat kanak-kanak dan... kakitangan di taska ketika tragedi berlaku," tulis gabenor Kyiv di Telegram.

Pegawai Ukraine bagaimanapun tidak memberi sebarang butiran lanjut mengenai punca nahas dan ia bukan didalangi oleh tentera Rusia yang mula menceroboh negara itu sejak Februari lalu.

Monastyrskyi yang bertanggungjawab ke atas polis dan pasukan keselamatan Ukraine, menjadi pegawai paling kanan negara itu maut sejak perang bermula.

Dalam perkembangan lain, Ukraine melaporkan pertempuran sengit berkalu semalaman di timur negara itu, sejak dua bulan lalu. 

Menurut tentera Ukraine, pasukan itu berjaya menangkis serangan di bandar timur Bakhmut dan perkampungan Klishchiivka di selatannya.

Rusia memberi tumpuan kepada Bakhmut dalam beberapa minggu kebelakangan ini, sambil mendakwa berjaya menawan bandar perlombongan Soledar di pinggir utaranya minggu lalu. 

Selepas kejayaan besar Ukraine pada penghujung 2022, barisan hadapan berjaya mematahkan serangan pihak lawan sejak dua bulan lalu. 

Kyiv berkata ia berharap senjata moden dari Barat akan membolehkannya meneruskan serangan untuk menawan semula kawasan dicerobohi, terutamanya kereta kebal berat yang akan memberikan mobiliti dan perlindungan kepada tenteranya untuk menembusi pertahanan Rusia.