Pasukan penyelamat berjaya membawa keluar 12 mangsa termasuk dua kanak-kanak dari runtuhan sebuah blok pangsapuri di bandar Lucknow yang terletak di utara India, lapor pegawai polis tempatan, hari ini.
Menurut pegawai itu, sekurang-kurangnya 12 orang lagi dikhuatiri terperangkap.
Pekerja penyelamat berusaha membersihkan runtuhan dan serpihan dari tapak itu, yang terletak di kawasan sesak dan mewah di Lucknow, Uttar Pradesh, India.
Bagaimanapun, punca runtuhan belum dapat dikenal pasti setakat ini.
"Kami membawa keluar 12 orang setakat ini, termasuk dua kanak-kanak, dan tiada penemuan mayat," kata Ketua Pengarah Polis Uttar Pradesh, D S Chauhan kepada pemberita di lokasi kejadian.
Saluran televisyen menunjukkan timbunan batu bata dan konkrit dan pasukan polis sedang berusaha untuk mencari mangsa yang terselamat.
Menurut Chauhan, seramai 24 mangsa dikhuatiri terperangkap akibat bangunan runtuh itu.