Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky memberitahu rakan sejawatannya dari Perancis, Emmanuel Macron pada Selasa bahawa beliau membantah penyertaan atlet Rusia pada Sukan Olimpik 2024 di Paris.
"Kami membincangkan langkah-langkah diplomatik untuk menamatkan perang. Saya menegaskan bahawa atlet dari RF (Persekutuan Rusia) sepatutnya tidak mendapat tempat di Paris 2024," tweetnya selepas membuat panggilan telefon dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron pada Selasa, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Pada Disember, Zelensky meminta presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach supaya mengenakan larangan kekal terhadap atlet Rusia daripada pertandingan antarabangsa.
Sidang kemuncak Olimpik pada 9 Disember membuka pintu untuk atlet Rusia dan Belarus kembali bertanding di peringkat antarabangsa walaupun Rusia menceroboh Ukraine.
Para peserta mengundi sebulat suara untuk mempertimbangkan permintaan badan induk Asia OCA untuk membenarkan atlet dari kedua-dua negara itu menyertai pertandingan anjurannya di bawah bendera neutral dan tanpa memainkan lagu kebangsaan.
Kenyataan itu menyebut syarat untuk penyertaan Rusia dan Belarusia termasuk menghormati Piagam Olimpik dan sekatan yang meliputi larangan menggunakan bendera, lagu, warna atau sebarang pengenalan lain Rusia dan Belarus pada acara sukan.