- Iklan -
Luar Sana

New Zealand alami kekurangan bekalan telur

Kekurangan bekalan terutama di pasar raya dan kedai sayur-sayuran di bandar-bandar besar mencetuskan kebimbangan dalam kalangan warga negara itu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Telur jenama Lucerne yang dijual di sebuah pasar raya di Wheaton, Maryland, Amerika Syarikat. Gambar: Reuters
Telur jenama Lucerne yang dijual di sebuah pasar raya di Wheaton, Maryland, Amerika Syarikat. Gambar: Reuters

Penduduk New Zealand mengalami kekurangan bekalan telur ayam sejak lebih sebulan yang turut menjejaskan hidangan sempena sambutan Krismas dan Tahun Baharu.

Bekalan itu berkurangan di seluruh New Zealand terutama di pasar raya dan kedai sayur-sayuran di bandar-bandar besar yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan warga New Zealand, lapor Xinhua.

Pada 2012, kerajaan melaksana undang-undang yang menghapuskan telur sangkar secara berperingkat pada penghujung 2022 yang merupakan perubahan ketara dalam industri bekalan telur.

Walaupun telur dalam sangkar dihentikan secara berperingkat, namun berlaku penurunan bekalan secara menyeluruh. 

Rangkaian pasar raya utama juga berusaha menangani penurunan bekalan itu. 

Antara peruncit terbesar di negara itu, PAK'nSAVE dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya komited untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan dan pembekal bagi memenuhi sasaran untuk menjadi pembekal telur bebas sangkar sepenuhnya menjelang 2027.

Menurut kenyataan itu PAK'nSAVE bekerjasama rapat dengan pembekal untuk membantu mengurus peralihan bagi mengembalikan bekalan telur di kedai mereka kembali ke paras normal secepat mungkin.

Satu lagi rangkaian pasar raya Countdown pada Jumaat berkata mereka bekerjasama dengan petani sejak 2016 untuk bersiap sedia menghadapi penghapusan telur sangkar bateri dan koloni secara berperingkat.

Pada 2017, Countdown mengumumkan bahawa ia akan menghapuskan telur sangkar koloni secara berperingkat di Pulau Utara menjelang akhir 2024 dan di Pulau Selatan menjelang akhir 2025.

Cabaran bekalan semasa juga disebabkan oleh gangguan ketara yang dialami petani New Zealand dalam beberapa tahun kebelakangan ini seperti Covid-19 yang menyebabkan peningkatan dan penurunan yang ketara dalam permintaan untuk telur, kata Countdown.

Faktor antarabangsa yang berkaitan dengan perang menyebabkan lonjakan besar-besaran dalam harga makanan dan gangguan rantaian bekalan menjadikan ia mencabar bagi petani untuk mendapatkan bahan binaan yang diperlukan untuk sistem penternakan bagi menghasilkan telur.