- Iklan -
Luar Sana

17 terbunuh, 70 cedera dalam letupan di masjid

Letupan berlaku berhampiran sebuah masjid di Peshawar, ibu kota wilayah Khyber Pakhtunkhwa.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pegawai keselamatan memeriksa lokasi letupan masjid di dalam ibu pejabat polis di Peshawar pada 30 Januari. Gambar: AFP
Pegawai keselamatan memeriksa lokasi letupan masjid di dalam ibu pejabat polis di Peshawar pada 30 Januari. Gambar: AFP

Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dan 70 yang lain cedera selepas letupan kuat berlaku di sebuah masjid di bandar Peshawar barat laut Pakistan pada Isnin, menurut pegawai polis dan hospital.

Jurucakap Hospital Lady Reading di Peshawar wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Mohammad Asim, berkata mangsa yang cedera termasuk anggota polis dan kini dirawat di kemudahan perubatan, lebih 15 mangsa berada dalam keadaan kritikal, lapor Xinhua.

Menurut pegawai polis di Peshawar, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca letupan dan maklumat lanjut akan dimaklumkan selepas siasatan selesai.

 Saksi memberitahu Xinhua bahawa ia adalah serangan pengebom bunuh diri ketika jemaah sedang menunaikan solat asar.

Sebahagian daripada struktur masjid itu turut runtuh dan beberapa orang dipercayai tertimbus di bawah runtuhan. Polis masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Berikutan letupan itu, pasukan polis mengepung kawasan itu dan melancarkan siasatan.

Belum ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu.