Mahkamah Agung India akan mempertimbangkan petisyen terhadap perintah kerajaan yang menghalang perkongsian klip dokumentari BBC yang mempersoalkan kepimpinan Perdana Menteri Narendra Modi semasa rusuhan pada 2002 di negeri barat Gujarat, minggu depan.
Kerajaan menyifatkan filem yang diterbitkan minggu lalu, bertajuk "India: The Modi Question" sebagai “sebuah propaganda” berat sebelah dan menyekat perkongsian mana-mana klipnya di media sosial.
Mahkamah Agung akan meneliti petisyen minggu depan, kata Ketua Hakim Negara DY Chandrachud di mahkamah hari ini.
Peguam dari New Delhi, ML Sharma, menentang langkah kerajaan dalam salah satu petisyen ke Mahkamah Agung.
Dalam petisyen berasingan yang turut dikemukakan peguam Prashant Bhushan, wartawan N Ram dan ahli politik pembangkang Mahua Moitra memberi tumpuan kepada arahan menyekat pautan media sosial berkaitan dokumentari itu.
Sementara itu, Menteri Undang-undang Kiren Rijiju dalam ciapan di Twitter berkata: "Beginilah mereka membuang masa Mahkamah Agung, di mana beribu-ribu rakyat sedang menunggu dan mencari tarikh untuk keadilan."
Modi, yang berhasrat mempertahankan jawatan untuk penggal ketiga dalam pilihan raya tahun depan, adalah ketua menteri Gujerat pada Februari 2002, sewaktu kumpulan perusuh Islam yang disyaki membakar kereta api yang membawa penganut Hindu.
Insiden itu mencetuskan salah satu pertempuran berdarah antara agama terburuk di India.
Dalam serangan itu sekurang-kurangnya 1,000 orang terbunuh, kebanyakannya beragama Islam, ketika orang ramai berkeliaran di jalanan selama beberapa hari, menyasarkan penganut minoriti itu. Tetapi aktivis menyatakan jumlah sebenar korban adalah lebih dua kali ganda, kira-kira 2,500 orang.
Modi menafikan tuduhan bahawa beliau tidak melakukan sebarang tindakan untuk menghentikan rusuhan itu.
Beliau dibebaskan pada 2012 berikutan perbicaraan yang dikendalikan oleh Mahkamah Agung dan petisyen mempersoalkan pembebasannya ditolak tahun lepas.
BBC berkata dokumentari itu "dikaji dengan teliti" dan melibatkan pelbagai suara dan pendapat, termasuk maklum balas daripada orang ramai dalam parti yang dipimpin Modi, Bharatiya Janata.