- Iklan -
Berita

Pilihan raya junta Myanmar bakal cetus keganasan lebih buruk, kata PBB

Darurat yang dikenakan junta akan tamat pada penghujung Januari, dan mengikut Perlembagaan pihak berkuasa perlu mengadakan pilihan raya dalam masa terdekat.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar ini diambil pada 8 Ogos 2022, menujukkan penunjuk perasaan berjalan mengeliling Yangon dengan membawa payung tertera angka lapan. Gambar: AFP
Gambar ini diambil pada 8 Ogos 2022, menujukkan penunjuk perasaan berjalan mengeliling Yangon dengan membawa payung tertera angka lapan. Gambar: AFP

Pilihan raya yang dirancang junta Myanmar tahun ini bakal mencetuskan keganasan lebih buruk, kata utusan khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini, sambil menggesa masyarakat antarabangsa bersatu bersama pembangkang negara itu.

Myanmar bergolak sejak tentera menggulingkan kerajaan Aung San Suu Kyi hampir dua tahun lalu, dengan mendakwa penipuan besar-besaran semasa pilihan raya yang dimenangi partinya pada 2020.

Darurat yang dikenakan junta akan tamat pada penghujung Januari, dan mengikut Perlembagaan pihak berkuasa perlu mengadakan pilihan raya dalam masa terdekat. 

Mana-mana pilihan raya yang dikendalikan oleh tentera "akan menyemarakkan keganasan yang lebih besar, memanjangkan konflik dan menyukarkan penyuburan demokrasi dan kestabilan," kata utusan khas PBB Noeleen Heyzer dalam satu kenyataan. 

Beliau menyeru masyarakat antarabangsa untuk "menjalin kedudukan bersatu yang lebih kukuh" pada pilihan raya yang akan diadakan nanti.

Amerika Syarikat berkata sebarang pilihan raya hanya "palsu" semata-mata. Rakan rapat junta Moscow berkata ia menyokong mengadakan pengundian. 

Jurucakap setiausaha agung PBB Antonio Guterres berkata beliau "prihatin dengan hasrat yang dinyatakan oleh tentera untuk mengadakan pilihan raya di tengah-tengah... sekatan berterusan, ugutan dan gangguan terhadap pemimpin politik, aktivis masyarakat sivil dan wartawan". 

"Tanpa syarat yang membenarkan rakyat Myanmar menggunakan hak politik mereka secara bebas, pilihan raya yang dicadangkan itu berisiko memburukkan lagi ketidakstabilan," menurut kenyataan itu.

Junta memberi tempoh dua bulan kepada parti politik sedia ada dan calon untuk mendaftar semula di bawah undang-undang pilihan raya baharu yang ketat bulan ini, sekali gus ia memberi bayangan bahawa pilihan raya akan diadakan tahun ini.

Pemerhati berkata pengundian yang dirancang tidak mungkin bebas dan adil dalam keadaan sekarang.

Majlis Keselamatan PBB meluluskan resolusi pertamanya mengenai situasi di Myanmar bulan lalu, dengan menggesa junta membebaskan Suu Kyi dan semua "banduan yang ditahan sewenang-wenangnya". 

Anggota tetap Majlis Keselamatan dari China dan Rusia mengundi untuk berkecuali, memilih untuk tidak menggunakan kuasa berikutan pindaan pada perkataan itu. 

India yang mempunyai hubungan rapat dengan junta turut mengundi untuk berkecuali. 

Usaha diplomatik untuk menyelesaikan kebuntuan di Myanmar yang diketuai PBB dan blok serantau Asia Tenggara mencapai sedikit kemajuan, dengan jeneral enggan terlibat dengan pihak lawan. 

Heyzer bertemu pemimpin kanan junta di Naypyidaw pada Ogos tahun lalu semasa lawatan pertamanya, 10 bulan selepas pelantikannya. 

Pertemuan itu mendapat kritikan daripada junta dan penentang tentera. 

Beliau dinafikan hak untuk berjumpa Suu Kyi dan pegawai junta kemudiannya menuduhnya mengeluarkan "kenyataan berat sebelah" tentang apa yang dibincangkan.